Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan mewujudkan pusat pemborong dan peruncit di seluruh negara di bawah Program Pembekalan Barangan Asas 100 (BA100) yang menjual barang keperluan pada harga lebih murah daripada pasaran.
Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata usaha mewujudkan pusat itu mendapat kerjasama kira-kira 3,000 cawangan koperasi di bawah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan ia akan dibina secara berperingkat.
Beliau berkata setakat ini, infrastruktur bagi menyokong pembukaan pusat pemborong dan peruncit sama ada secara nyata atau dalam talian sedang dibangunkan dan ia akan dilancarkan di setiap negeri dalam masa terdekat.
“Saya lihat begitu jelas Program BA100 memberi kesedaran kepada kerajaan bahawa rakyat sangat memerlukan sokongan, dokongan dan bantuan seperti ini khususnya bagi menurunkan harga barangan asas sekali gus mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
“Justeru, koperasi di bawah Angkasa diamanahkan kerajaan untuk melaksanakan program ini khususnya bagi golongan B40 dengan melakukan beberapa penambahbaikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mesra Koperasi Bazar Jualan Harga Patut BA100 di Masjid Tanah, semalam.
-BERNAMA