Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menetapkan formulasi berdasarkan aksara 5E sebagai komitmennya dalam melaksanakan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi dan pendekatan utama untuk hala tuju sepanjang tahun ini.
MEDAC dalam satu kenyataan berkata, lima pendekatan utama tersebut ditetapkan sebagai hala tuju baharu dalam pembangunan keusahawanan yang holistik bagi memastikan keusahawanan kekal sebagai penyumbang utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Lima E (5E) ialah ‘Enculture’, ‘Enable’, ‘Empower’, ‘Energize’ dan ‘Engage’. ‘Enculture’ adalah usaha untuk membudayakan pemikiran dan nilai keusahawanan dalam kalangan usahawan baharu dengan memberi fokus kepada penciptaan usahawan yang kreatif, inovatif, berdaya tahan dan berpaksikan pengetahuan khususnya dalam kalangan belia dengan mengaplikasikan ‘technology advancement’ supaya lebih kompetitif dalam meneroka pasaran di peringkat domestik dan antarabangsa.
“’Enable’ mengupayakan usahawan informal sebagai usahawan formal yang berdaftar dan ‘Empower’ menumpukan kepada pemerkasaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam memulihkan perniagaan mereka yang terkesan daripada impak Covid-19 serta memperkukuhkan daya tahan PMKS untuk terus maju serta lebih mudah pulih dan kompetitif,” katanya.
Menurut MEDAC, ‘Energize’ pula memfokus kepada usaha mentransformasi atau menyuntik tenaga baharu kepada Gerakan Koperasi sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sosio-ekonomi negara yang seimbang, inklusif, progresif dan mampan.
“Yang terakhir, ‘Engage’ iaitu mempertingkatkan sesi libat urus sama ada secara atas talian ataupun bersemuka bagi memastikan program-program keusahawanan MEDAC boleh dicapai dan difahami oleh setiap lapisan masyarakat,” jelasnya.
-NIAGATIMES