MEDAC, MOF atur strategi lonjak semula operasi perniagaan tempatan

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah mengadakan perbincangan bersama-sama Kementerian Kewangan (MOF) bagi melonjakkan semula operasi perniagaan di negara ini selepas kerajaan memutuskan semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKP) pada kapasiti penuh tanpa sekatan.

Menteri MEDAC, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementeriannya telah mengemukakan beberapa inisiatif baharu yang melibatkan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi dengan sasaran keupayaan menggerakkan semula aktiviti perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta mikro untuk menyumbang kepada pembangunan ekosistem ekonomi negara.

“Seramai lebih 20,000 usahawan yang merangkumi usahawan mikro, PKS, koperasi dan sektor informal akan menerima manfaat daripada pelaksanaan pelan ini.

“MEDAC juga telah membawa 19 program dan inisiatif baharu kepada MOF yang di antaranya adalah permohonan penambahan dana bagi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dan agensi-agensi di bawah MEDAC.

“Penambahan dana bagi TEKUN Nasional ini perlu dilaksanakan berikutan MEDAC menerima jumlah permohonan pembiayaan yang banyak daripada usahawan-usahawan PKS di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook rasmi miliknya, semalam.

Tambah Wan Junaidi, MEDAC juga telah memulakan kerjasama strategik dengan Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pengajian Tinggi bagi melaksanakan program keusahawanan belia terutamanya dalam kalangan pelajar, graduan institusi pengajian tinggi dan belia yang kehilangan pekerjaan akibat penularan wabak Covid-19.

MEDAC-MOF.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.