MEDAC permudah akses permohonan insentif bantuan perniagaan usahawan

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menambah baik sistem operasi insentif bantuan perniagaan, Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) dengan memperkenalkan permohonan digital secara pautan terus ke akses di bawah seliaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pautan secara terus yang telah diperkenalkan sejak kelmarin adalah inisiatif terbaharu MEDAC bagi memudahkan proses permohonan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta mikro yang berhasrat membuat pinjaman melalui Kemudahan Bantuan Khas.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya ingin menjelaskan bahawa TEKUN Nasional melalui pendekatan mesra usahawan telah memudahcara permohonan CBRM di mana pada awalnya permohonan pinjaman melalui kaedah ‘Google Form’ dan juga e-mel.

“Bagi memudahkan PKS, bermula pada 16 April 2020 permohonan secara atas talian (online) telah diwujudkan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Usahawan boleh membuat permohonan dengan melengkapkan maklumat di pautan http://fas.tekun.gov.my/cbrm/ dengan menyertakan dokumen tanda tangan borang penzahiran dan satu bulan penyata bank terkini, salinan MyKad pemohon dan pasangan, lesen perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan atau dokumen lain yang mengesahkan perniagaan serta salinan salah satu bil utiliti.

Wan-Junaidi-TEKUN.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.