Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan RM230 juta bagi pelaksanaan produk-produk baharu Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM).
Sebanyak 14, 629 koperasi dengan keahlian seramai hampir 6.5 juta orang bakal menerima manfaat daripada pelaksanaan produk-produk baharu ini berdasarkan lima produk yang dicadangkan iaitu Pembiayaan Koperasi Mikro (MicCoopFi-1), Pembiayaan Lestari (LesFi-1), Pembiayaan Permulaan (SuFi-1), Pembiayaan 100 Koperasi Terbaik (Best100Fi-1) dan Pembiayaan Pembayar Yang Baik (GPMFi-1).
Menteri MEDAC, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pelancaran produk-produk baharu ini diharapkan dapat membantu koperasi dalam membiayai projek-projek berdaya maju daripada kluster mikro sehinggalah kluster besar mendapat manfaat daripada dana TMPSKM yang disediakan oleh kerajaan.
“MEDAC sentiasa prihatin dalam memastikan ekosistem sektor koperasi negara sentiasa konsisten dan dalam masa yang sama membantu meringankan beban kewangan koperasi yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Pembiayaan Lestari atau Lestari Financing (LesFi-1) menyediakan kemudahan pembiayaan dalam bentuk modal pusingan bagi koperasi yang telah terpilih di bawah Program Desa Lestari di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Pembiayaan Permulaan atau Startup Financing (SuFi-1) pula menyediakan kemudahan pembiayaan kepada koperasi baru bagi membiayai projek yang berpotensi atau berdaya maju.
Manakala, Pembiayaan 100 Koperasi Terbaik atau Best 100 Financing (Best100Fi-1) menyediakan kemudahan atau insentif pembiayaan kepada 100 Koperasi Terbaik Tahun 2020.
Dan yang terakhir, Pembiayaan Pembayar Yang Baik atau Good Paymaster Financing (GPMFi-1) bertujuan menyediakan insentif pembiayaan kepada koperasi yang mempunyai rekod pembiayaan yang baik dengan pihak SKM.
-NIAGATIMES