Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) meneruskan komitmen dalam agenda memperkasakan keusahawanan wanita yang merupakan salah satu pemain utama dalam menjana ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat melalui penubuhan Jawatankuasa Induk Keusahawanan Wanita (JIKW).
MEDAC berkata, platform JIKW kelak bakal mendokong agenda bagi memperkasakan keusahawanan khusus kepada koperasi atau komuniti usahawan wanita dari pelbagai kategori, termasuk juga kategori penjaja kecil iaitu usahawan tidak formal.
“Platform JIKW dilihat dapat mewujudkan sinergi yang lebih bersepadu, di mana semua pihak bermuafakat dalam mencari pendekatan terbaik bagi memastikan iniasiatif atau program yang dirangka dapat berjalan lancar dengan impak positif kepada golongan sasar iaitu usahawan wanita.
“Dalam hal ini, penjaja kecil iaitu usahawan tidak formal tidak dipinggirkan kerana ia semakin berkembang lebih-lebih lagi ekoran pandemik Covid-19, di mana lebih ramai menceburi perniagaan kecil-kecilan sebagai alternatif menjana pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah MEDAC lagi, institusi koperasi dan badan bukan kerajaan (NGO) juga boleh digarap sebagai platform yang efektif dalam menyalurkan maklumat dan bimbingan kepada kumpulan usahawan wanita melalui JIKW.
“Harapan MEDAC melalui JIKW adalah supaya peratusan penglibatan usahawan dalam kalangan wanita dapat terus ditingkatkan serta memberi perhatian untuk memperkasakan usahawan wanita yang sedia ada ke peringkat yang lebih maju,” ujarnya.
JIKW adalah kesinambungan kepada Sesi Dialog Keusahawanan Wanita pada September 2020 telah bersidang buat pertama kalinya pada 1 Mac 2021 dan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri MEDAC, Datuk Wira Mas Ermieyati Shamsudin yang dihadiri wakil-wakil kementerian, agensi, koperasi dan juga persatuan NGO wanita.
-NIAGATIMES