MEDAC, PUNB sepakat perkasakan usahawan bumiputera

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mengukuhkan kerjasama strategik dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menerusi pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan tujuh agensi yang bernaung di bawahnya.

Agensi yang terlibat ialah UDA Holdings Berhad, SME Corp Malaysia, SME Bank, Bank Rakyat, TEKUN Nasional, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

Dalam satu kenyataan bersama kelmarin, MEDAC dan PUNB memaklumkan bahawa objektif utama pemeteraian MoU ini adalah sebagai satu sinergi dalam usaha mewujudkan ekosistem perniagaan yang kondusif bagi menjana sosio ekonomi bumiputera yang lebih berdaya saing.

“Ke arah itu, kerjasama dan kolaborasi strategik yang dimeterai ini akan dapat menyediakan peluang kepada semua usahawan bumiputera secara adil dan saksama.

“Ketujuh-tujuh agensi yang terlibat dengan MoU hari ini mempunyai agenda yang sama dalam pembangunan keusahawanan negara, cuma ia berbeza daripada aspek perkhidmatan yang ditawarkan.

“Bagaimanapun, perbezaan perkhidmatan yang ditawarkan setiap agensi terlibat, adalah satu kelebihan dalam pemeteraian MoU ini, apabila usahawan mempunyai lebih banyak pilihan untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan dan khidmat sokongan korporat,” katanya.

Menteri MEDAC, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika mengulas lanjut berkata, sejumlah RM833 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan 23 program pembangunan bumiputera yang memanfaatkan 131,807 usahawan.

“Kerjasama strategik yang dijalinkan dalam bidang pembiayaan, latihan dan pembangunan kapasiti, akses pasaran serta akses kepada lokasi perniagaan bersama PUNB ini diharapkan akan dapat membuka lebih banyak peluang bagi menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam bidang keusahawanan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar berkata, pemeteraian MoU antara PUNB dengan tujuh agensi di bawah MEDAC ini membabitkan lima skop kerjasama.

“Skop kerjasama tersebut adalah tawaran pembiayaan perniagaan; peluang perniagaan untuk usahawan bumiputera bagi pasaran tempatan dan antarabangsa; perkongsian idea, bahan penerbitan dan kemudahan fasiliti; promosi dan program pembangunan serta penawaran premis perniagaan di lokasi-lokasi strategik,” jelasnya.

-NIAGATIMES

MoU-MEDAC-PUNB.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.