MEDAC sedia laksana inisiatif PEMERKASA untuk usahawan dan koperasi

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyambut baik inisiatif yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang memberi lima fokus utama program pemulihan dan pemerkasaan ekonomi sepanjang tahun 2021.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementeriannya komited bagi memastikan inisiatif yang telah diumumkan dapat dinikmati segera oleh para usahawan yang disasarkan agar aktiviti perniagaan mereka dapat diteruskan dan dapat dipulihkan kesan daripada kelembapan ekonomi akibat penularan pandemik Covid-19.

“MEDAC telah mengenalpasti serta menyokong pemberian insentif yang berkaitan usahawan dan koperasi seperti Geran Khas Prihatin atau GKP 3.0. Setiap perusahaan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang layak akan menerima bantuan sekali bayar sebanyak RM1 ribu dan dijangka akan memanfaatkan lebih sejuta usahawan.

“Tidak terkecuali dana pembiayaan tambahan sebanyak RM500 juta bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit melalui program-program di bawah Bank Simpanan Nasional, TEKUN, MARA dan SME Corp.

“Bagi usahawan sektor informal, TEKUN Nasional akan menyediakan dana tambahan sebanyak RM60 juta, terutamanya untuk Skim Pembiayaan Informal dengan had pembiayaan sehingga RM5,000 bagi perniagaan secara kecil-kecilan daripada rumah, pasar malam dan pasar tamu,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Wan Junaidi lagi, TEKUN Mobilepreneur akan diperluaskan untuk pembiayaan membaik pulih atau membeli motosikal baharu dengan had sehingga RM10 ribu.

“TEKUN juga akan memperkenalkan program TEKUN POS-preneur di mana pemohon dapat menjana pendapatan melalui kontrak penghantaran barangan.

“Bantuan pembiayaan diberikan sehingga RM20,000 untuk tujuan baik pulih kenderaan, dan sehingga RM50,000 untuk pembelian van atau lori.

“SME Corp. akan menyediakan RM50 juta untuk membantu PKS tempatan mendapatkan pembiayaan sehingga RM250,000 pada kadar faedah juga serendah 3 peratus,” ujarnya.

Wan Junaidi turut berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan menyediakan insentif pembiayaan sehingga RM100,000 tanpa cagaran bagi membantu koperasi yang terkesan.

“Permohonan pembiayaan ini akan dipermudahkan dan proses kelulusan akan dipercepatkan dengan memberi kelonggaran bayaran balik selepas enam bulan pembiayaan diluluskan.

“Sejumlah RM50 juta dari Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan diperuntukkan yang dijangka dapat membantu lebih 14,000 koperasi,” katanya.

Tambah Wan Junaidi, SME Bank akan menyediakan dana pinjaman RM200 juta untuk membiayai pembelian mesin dengan insentif geran sehingga 20 peratus ke atas nilai mesin.

“Pemerkasaan usahawan wanita melalui Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro, serta Program Shop Malaysia Online, dana sebanyak RM30 juta untuk membantu mereka beralih ke pasaran dalam talian.

“Sebagai tambahan, BSN juga akan menyediakan sejumlah RM50 juta bagi Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-NITA untuk memberi galakan usahawan wanita menceburi bidang perniagaan.

“Tidak ketinggalan, Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) akan ditambah peruntukan bagi melahirkan seramai 250 usahawan belia Bumiputera baharu.

“Manakala, program New Gen Entrepreneur Online Bootcamp akan diperkenalkan bagi tujuan latihan penyediaan serta bimbingan perniagaan secara dalam talian kepada 2,000 orang usahawan belia,” jelasnya.

-NIAGATIMES

Wan-Junaidi.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.