Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sebaliknya lebih memilih tindakan secara kawalan setempat melalui sekatan pergerakan bagi kawasan-kawasan yang berada dalam kategori zon merah.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, negara tidak lagi boleh berhadapan dengan pelaksanaan PKP kerana proses pemulihan ekonomi yang telah dimulakan sejak bulan Mei dan Jun yang lepas dengan suntikan dana oleh pihak kerajaan melalui Penjana 1 dan 2 perlu digerakkan secara berterusan.
“Saya masih ingat apa yang disebut oleh Perdana Menteri pada 4 Mei yang lepas iaitu kerajaan bakal kehilangan sebanyak RM2.4 billion sehari kesan daripada pelaksanaan PKP dan perkara ini mesti dielakkan daripada berulang.
“Walau bagaimanapun, kita berharap agar pihak peniaga dapat mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dan masyarakat umum juga dapat mematuhi SOP yang telah digariskan jika tidak mahu ‘abah rotan lagi’ demi kebaikan seluruh negara dan keluarga kita semua,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambah Wan Junaidi, MEDAC melalui agensinya sedang rancak menjalankan latihan secara kejurulatihan bagi meningkatkan motivasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk terus menjalankan perniagaan mereka walaupun berhadapan dalam situasi yang tidak menentu kesan daripada penularan wabak Covid-19.
“Semua agensi di bawah MEDAC telah dan sedang melaksanakan program serta aktiviti bagi menggalakkan ekonomi dalam semua bidang,” ujarnya.
-NIAGATIMES