Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) komited membantu koperasi menangani kelembapan operasi perniagaan dengan mengumumkan beberapa inisiatif tambahan baharu berikutan perlanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020 akibat penularan Covid-19.
Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, inisiatif sejumlah RM1.099 bilion berserta penangguhan bayaran balik Tabung Modal Pusingan yang diuruskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk tempoh enam bulan tersebut dilihat bakal memberi manfaat kepada 14,628 buah koperasi yang berdaftar di seluruh negara.
“Pertama, koperasi akan diberi penangguhan daripada mendeposit keuntungan bagi tahun kewangan 2019 ke Akaun Deposit Koperasi. Penangguhan ini bakal memberi manfaat kepada 14,000 koperasi dengan jumlah tunai terlibat dianggarkan sebanyak RM600 juta.
“Kedua, koperasi diberikan pengurangan caruman ke Kumpulan Wang Rizab Statutori kepada lapan peratus berbanding 15 peratus kadar sedia ada daripada untung bersih koperasi untuk tempoh kewangan mulai 31 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020. Dianggarkan sebanyak RM333 juta lebihan likuiditi dalam gerakan koperasi dapat dimanfaatkan untuk memulihkan perniagaan yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, Wan Junaidi turut memaklumkan bahawa pembiayaan melibatkan RM15 juta berbentuk ‘soft-loan’ di bawah Tabung Modal Pusingan sehingga RM50,000 tanpa cagaran selama enam bulan akan diberikan.
“Keempat, koperasi juga disediakan kemudahan pembiayaan melalui Dana Likuiditi Pusat untuk tempoh jangka pendek selama setahun dengan jumlah pembiayaan sehingga RM500,000.
“Jumlah peruntukan terlibat adalah RM50 juta dengan sasaran 100 buah koperasi yang benar-benar memerlukan suntikan kecairan jangka pendek bagi meneruskan operasi perniagaan koperasi di sepanjang tempoh PKP ini.
“Kelima, geran bantuan kecemasan turut disediakan khusus untuk koperasi yang terjejas teruk dengan pandemik Covid-19 dengan jumlah maksimum pembiayaan sehingga RM30,000.00 bagi setiap koperasi. Jumlah peruntukan sebanyak RM1 juta telah disediakan,” jelasnya.
Tambah Wan Junaidi, peruntukan RM1 juta melalui Program Jualan Harga Patut Koperasi akan dilaksanakan dengan serampang dua mata bagi membantu pihak terlibat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan di samping membantu memulihkan perniagaan yang melibatkan 200 koperasi seluruh negara.
“Sebagai kerajaan yang prihatin, pelaksanaan inisiatif baharu ini diharap dapat meningkatkan kapasiti 14,628 koperasi untuk menggerakkan semula aktiviti perniagaan koperasi dan menyumbang dengan efektif kepada pembangunan ekonomi negara.
“Insentif untuk meningkatkan aliran tunai membolehkan koperasi terus aktif dan menjaga kebajikan seramai 6.05 juta anggota koperasi,” katanya.