Menteri KUSKOP pimpin delegasi Malaysia pada ICA di Sepanyol

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar bakal mengetuai delegasi koperasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) di Seville, Sepanyol yang akan berlangsung pada 19 hingga 22 Jun ini.

Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat bagi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Halim Ibrahim berkata, Noh turut dijadualkan mengadakan beberapa pertemuan bersemuka dengan pemimpin negara di Seville dan Madrid.

“Menteri KUSKOP akan turut mengadakan sesi kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri Pertama dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Transformasi Digital Sepanyol bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan membincangkan kerjasama pelbagai bidang yang boleh dijalinkan khususnya dalam pembangunan gerakan koperasi dan keusahawanan.

“Selain itu, beliau juga akan turut mengadakan pertemuan dengan kakitangan Kedutaan Besar Malaysia (KBM) serta rakyat dan pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Madrid.

“Dalam sesi yang lain pula, ANGKASA akan memuktamadkan memorandum kerjasama dengan koperasi terbaik dunia, Indian Farmers Fertiliser Cooperative Limited (IFFCO) berkenaan pembekalan baja nano yang akan memberi manfaat kepada koperasi yang terlibat dalam sektor pertanian dan industri asas tani serta sektor perladangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebanyak 312 buah koperasi dari 112 buah negara bakal menyertai Perhimpunan Agung dan Persidangan ICA bagi membincangkan dasar, polisi dan hala tuju koperasi serta kolaborasi dalam perkongsian ilmu, kepakaran, teknologi, budaya agar sektor koperasi kekal relevan dalam memberikan sumbangan yang signifikan terhadap pembangunan sosioekonomi masyarakat dan komuniti.

-NIAGATIMES

kredit-foto-Noh-Omar.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.