Meraque Services Sdn Bhd (Meraque) mengumumkan syarikat tersebut telah memulakan usaha bagi memperluaskan kedudukannya di pasaran Asia Tenggara dalam tempoh lima tahun akan datang.
Syarikat penyelesaian automasi itu menyatakan usaha itu dapat dilihat melalui projek pemeriksaan perintis yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu untuk sebuah syarikat infrastruktur telekomunikasi di Filipina.
Sebagai sebahagian daripada perkongsian strategik, Meraque telah menubuhkan pasukan untuk melaksanakan perkhidmatan audit tapak telekomunikasi melalui pengawasan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV).
Misi penerbangan automatik tersebut sedang dijalankan di sekitar beberapa tapak utama projek, merentasi pelbagai wilayah di Luzon Selatan, Filipina termasuk Mindanao, Visayas, Metro Manila dan Palawan.
Di dalam projek perintis tersebut, Meraque akan mengawasi lebih 3,100 menara telekomunikasi di seluruh Filipina.
Ketua Pegawai Eksekutif Meraque, Md. Razalee Ismail berkata, pihaknya berusaha untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat global dan menambahbaik keupayaan teknologi syarikat pada tahun ini.
โRancangan kami adalah untuk menembusi pasaran Timur Tengah dan Afrika, serta memperkukuh kedudukan di Asia Tenggara yang akan memperkuatkan komitmen kami dalam mencapai misi syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pelan pengembangan Meraque ke Indonesia dan Kemboja pada 2023 juga sedang berjalan dengan lancar melalui perkongsian strategik yang akan diumumkan tidak lama lagi.
โDalam tempoh 5 tahun akan datang, syarikat berharap dapat menjalankan pemeriksaan menggunakan dron ke atas lebih 20,000 menara telekomunikasi di seluruh Asia Tenggara, India dan Nepal,โ jelasnya.
-NIAGATIMES