Projek menara Merdeka 118 telah dianugerahkan pensijilan ‘Platinum Leadership in Energy and Environmental Design’ (LEED) berprestij dalam sistem penarafan Core & Shell LEED v2009, menjadikan ia bangunan mega tinggi pertama di Malaysia yang mencapai pengiktirafan sedemikian.
Pensijilan LEED mengiktiraf pematuhan projek tersebut terhadap kriteria yang ditetapkan dalam sistem penarafan LEED, yang dihasilkan dan diselia oleh U.S. Green Building Council (USGBC). Program pensijilan tersebut dikendalikan oleh Green Business Certification Inc (GBCI).
PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PNBMV), sebuah anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad, adalah pemilik dan pembina Merdeka 118. Dengan ketinggian sebanyak 678.9 meter, Merdeka 118 adalah menara tertinggi di Asia Tenggara dan yang kedua tertinggi di dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV Tengku Datuk Ab. Aziz Tengku Mahmud berkata, pensijilan Platinum LEED menandakan pencapaian besar pertama dalam perjalanan Merdeka 118 untuk menjadi bangunan mega tinggi pertama di Malaysia yang memperoleh penarafan platinum tiga-hijau.
“Apabila menara Merdeka 118 menerima kesemua pensijilan platinumnya nanti, ia akan menetapkan standard kelestarian tertinggi bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa, mengukuhkan lagi statusnya yang ikonik,” katanya.
Merdeka 118 sedang mensasarkan pensijilan Platinum dari Green Real Estate (GreenRE) dan Green Building Index (GBI). Ia juga bakal mendapatkan pensijilan WELL dari International WELL Building Institute Asia Pacific, menyokong kesejahteraan para penyewa dan komuniti di sekitarnya.
Meliputi lebih 3.1 juta kaki persegi luas lantai kasar, menara Merdeka 118 merangkumi 84 tingkat ruang pejabat Premium Kelas-A, 17 tingkat Hotel Park Hyatt Kuala Lumpur yang pertama dan satu-satunya di Malaysia, The View at 118, dek Pemerhatian tertinggi di Asia Tenggara dan bersambung terus dengan 118 Mall yang akan menawarkan gabungan pelbagai premis jualan yang menarik.
-NIAGATIMES