Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil Sederhana (MPUPK) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersidang buat pertama kalinya tahun ini, dengan tumpuan diberikan kepada pelaksanaan inisiatif untuk membantu menyegerakan pemulihan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melibatkan semua pemegang taruh yang terlibat dalam ekosistem keusahawanan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang turut menganggotai MPUPK berkata, Perdana Menteri menekankan pentingnya semua pihak untuk mengambil tindakan proaktif dalam memastikan semua program dan inisiatif di bawah pakej Rangsangan Ekonomi yang telah diumumkan oleh kerajaan dilaksanakan secara teratur dan mengikut jadual.
“Capaian program dan inisiatif pula perlu dipergiatkan ke seluruh pelosok negara bagi memastikan tidak ada sesiapa yang ketinggalan di belakang.
“MPUPK turut memberi penelitian terhadap prestasi dan prospek ekonomi Malaysia serta isu dan cabaran yang dihadapi bagi tahun 2021.
“Dalam hal ini, majlis turut menekankan supaya aktiviti dan ekosistem pembiayaan perniagaan dari sektor kewangan perlu lebih kondusif bagi menyokong pemulihan ekonomi negara.
“Usaha pemulihan juga akan ditumpukan kepada usahawan mikro dan tidak formal yang terjejas di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Jelas Wan Junaidi, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri pada masa ini menumpukan pelbagai usaha pemulihan ekonomi bermula daripada peringkat akar umbi.
“Menyahut seruan ini, MEDAC akan membangunkan Pelan Usahawan Informal sebagai rangka tindakan untuk mentransformasi dan mendayaupaya usahawan tidak formal termasuk mereka yang berada di pedalaman Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
-NIAGATIMES