Mforce Bike Holdings Sdn Bhd melakar satu lagi perkembangan penting dalam agenda pengukuhan rangkaian perkhidmatannya apabila merasmikan Pusat Servis dan Pejabat Urusan Mforce Kuala Lumpur di Segambut, sekali gus menandakan pencapaian utama syarikat bagi suku pertama 2026.
Fasiliti baharu berkeluasan kira-kira 77,000 kaki persegi itu kini diiktiraf sebagai pusat servis motosikal terbesar di negara ini, dibangunkan bagi menampung keperluan penyelenggaraan berskala besar serta meningkatkan kecekapan operasi dan sokongan selepas jualan Mforce.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Malaysia Motorcycle & Scooter Dealers Association (MMSDA), Datuk Wee Hong, dan turut dihadiri barisan pengurusan kanan Mforce yang diketuai Pengarah Urusan, Dato’ Sri Tan Lean Heah. Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Asri Ahmad, Pengurus Jualan Kanan Tang Hai Teik, Pengurus Jualan Alex Lim Juinn Han dan Woon Huey Li.
Turut memeriahkan majlis ialah rakan prinsipal antarabangsa Mforce termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd, Muhammad Zameer Zahur Hussain, selain wakil media, pengedar, stokis, rakan institusi kewangan, komuniti serta kelab motosikal Mforce.
Dibangunkan berteraskan konsep pusat sehenti, cawangan Kuala Lumpur ini menawarkan pelbagai kemudahan menyeluruh seperti Mforce Gallery yang menampilkan 16 susun atur jenama di bawah kumpulan Mforce, ruang menunggu pelanggan yang luas, CR Café, restoran, pusat alat ganti serta gudang simpanan alat ganti.
Kemudahan ini turut dilengkapi Motorcycle Inspection Test Bench bernilai RM1.5 juta yang membolehkan pemeriksaan menyeluruh aspek keselamatan dan keadaan motosikal, termasuk sistem brek, pencahayaan dan penjajaran, selaras dengan piawaian industri semasa. Selain itu, surau, tandas, ruang pameran serta jualan produk LS2 dan Mforce Oil disediakan bagi melengkapkan pengalaman pelanggan.
Pembinaan keseluruhan fasiliti ini melibatkan pelaburan berjumlah RM40 juta, mencerminkan komitmen jangka panjang Mforce untuk memperkukuh infrastruktur perkhidmatan dan sokongan selepas jualan. Operasi penuh dijangka bermula dalam masa terdekat.
Pada majlis sama, Mforce turut memperkenalkan model dwi-fungsi terbaharu, CFMOTO 250 Dual, bagi mengukuhkan penawaran produk syarikat di pasaran tempatan.
Asri Ahmad turut mengumumkan cadangan penubuhan ‘Mforce Experience Club’, iaitu platform sokongan komuniti dan saluran maklumat produk serta perkhidmatan terkini, dengan pendaftaran dalam talian dibuka mulai 15 Februari 2026.
Sebagai insentif, cabutan bertuah khas melibatkan lima unit motosikal pelbagai model akan dianjurkan sempena Malaysia Bike Show 2026 di MAEP, Serdang, khusus untuk ahli kelab berkenaan.
-NIAGATIMES




















































