Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2026 membuka tirai hari ini dengan penyertaan antarabangsa yang semakin memberangsangkan, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai platform perdagangan perabot berorientasikan eksport terunggul di Asia Tenggara.
Memasuki edisi ke-32, pameran yang berlangsung dari 4 hingga 7 Mac itu diadakan di dua lokasi utama iaitu Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Berkonsepkan ‘1 Pameran, 2 Lokasi, 17 Dewan’, MIFF 2026 meliputi ruang pameran seluas 100,000 meter persegi dengan penyertaan lebih 700 pempamer serta kira-kira 20,000 pembeli dari 140 negara dan wilayah.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perladangan dan Komodilti, Datuk Razali Mohammad mewakili menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, yang menegaskan komitmen kementerian dalam menyokong inisiatif berteraskan kelestarian, inovasi dan daya tahan eksport.
Beliau berkata, penekanan terhadap aspek tersebut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi penyumberan perabot global yang diyakini, selain membantu industri menyesuaikan diri dengan cabaran semasa termasuk peningkatan kos, perubahan dasar perdagangan serta jangkaan pembeli yang semakin menuntut standard kemampanan tinggi.
Sementara itu, Pengerusi MIFF, Tan Chin Huat berkata, sepanjang lebih tiga dekad penganjurannya, MIFF berkembang menjadi antara 10 pameran perabot terunggul dunia dan terbesar di Asia Tenggara, dengan urus niaga mencecah berbilion ringgit.
“MIFF bukan sekadar medan jual beli, tetapi pemangkin idea dan pencetus trend, selari dengan peralihan pembeli antarabangsa ke rantau ini yang menawarkan ketukangan berkualiti, reka bentuk inovatif serta rantaian bekalan yang kukuh,” ujarnya.
Bagi memperluas capaian pasaran, MIFF menjalinkan kerjasama strategik dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi memudahkan akses terus kepada rangkaian pembeli global.
Antara pembaharuan tahun ini ialah sesi padanan perniagaan ‘I Matched First’ yang diadakan sehari sebelum pembukaan rasmi, selain penyediaan Pusat Perniagaan yang menawarkan khidmat cadangan pembekal, lawatan kilang dan penyatuan penghantaran.
Konsep baharu FurniFusion turut diperkenalkan di WTCKL berteraskan tiga segmen utama iaitu Hidup, Bekerja dan Beriadah, termasuk MIFF OFFICE dan The Muse yang memfokuskan perabot pejabat serta gaya hidup.
Selaras agenda kemampanan, kempen penanaman pokok dilaksanakan dengan sokongan Ecomate Sdn Bhd, Persatuan Perabot Muar dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Tahun lalu, MIFF merekodkan anggaran jualan di tapak sebanyak AS$1.31 bilion (RM6.15 bilion), membuktikan peranannya sebagai enjin pertumbuhan utama industri perabot serantau ke persada global.
-NIAGATIMES






















































