MIHAS 2026: Knowledge Hub jadi pemangkin usahawan tembusi pasaran halal global

MIHAS Knowledge Hub kini diperluas sebagai platform kecerdasan perdagangan sepanjang tahun bagi membantu syarikat tempatan memahami perkembangan pasaran dan meningkatkan keupayaan menembusi pasaran halal global.

Platform yang diwujudkan sejak 2021 itu kini bergerak melangkaui konsep pameran empat hari menerusi penggunaan kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI), program digital sepanjang tahun serta pelbagai format multimedia yang menyediakan maklumat pasaran secara lebih pantas dan praktikal.

Inisiatif berkenaan turut diperkukuh dengan penyertaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) bagi edisi 2026, sekali gus menghubungkan pengetahuan pasaran dengan tindakan eksport yang lebih berkesan.

MIHAS Knowledge Hub merangkumi empat komponen utama yang disusun mengikut keperluan pengeksport, bermula dengan siri webinar Prelude dan ‘Meet the Experts’ yang memberi tumpuan kepada syarat kemasukan pasaran, pematuhan serta mekanisme pemudah cara perdagangan antarabangsa.

Ia turut menampilkan sesi fizikal Pocket Talk yang membincangkan trend industri semasa, inovasi dan penyelesaian praktikal bersama pakar perdagangan halal.

Segmen #SembangBlog / #SembangSantai pula diperkenalkan sebagai format podcast secara langsung yang mengetengahkan pengalaman perniagaan, pandangan pemimpin industri dan idea baharu berkaitan masa depan ekonomi halal.

Kemuncak program, Power Talk, akan berlangsung pada 23 September ini di MITEC Kuala Lumpur, dengan penyertaan pemimpin korporat daripada DHL Express, UOB Malaysia dan Farm Fresh. Perbincangan akan menyentuh aspek daya tahan rantaian bekalan, pemenuhan e-dagang, pembiayaan perdagangan serta strategi menghadapi cabaran geopolitik.

Menurut MATRADE, edisi 2025 MIHAS Knowledge Hub berjaya menghimpunkan 2,000 peserta menerusi 23 sesi fizikal dan 16 webinar ‘Meet the Experts’ antarabangsa, membabitkan 74 pakar industri dari ASEAN, Asia Timur, Timur Tengah, Eropah dan benua Amerika.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Dato’ Indera Abu Bakar Yusof berkata kejayaan eksport bukan hanya bergantung kepada kualiti produk, sebaliknya turut memerlukan pemahaman terhadap dinamik pasaran, kehendak pembeli dan peraturan antarabangsa.

Beliau berkata platform itu juga menjadi landasan persediaan bagi Program International Sourcing Programme (INSP) MATRADE, dengan membantu syarikat tempatan mendapatkan maklumat dan keyakinan sebelum berdepan pembeli antarabangsa.

MIHAS 2026 dijadual berlangsung dari 23 hingga 26 September di MITEC, Kuala Lumpur.

-NIAGATIMES

gambar-hiasan-Kredit-MIHAS.jpg