MIMOS International Venture Sdn Bhd (MIVSB) memeterai kerjasama strategik dengan ALAA Consultancy (M) Sdn Bhd (ACSB) bagi mempercepatkan pengembangan teknologi tinggi (deep tech) tempatan ke pasaran antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai teknologi global.
Kerjasama itu dimeterai menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Pengarah Urusan MIVSB, Mohamad Azriani Abd Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif ACSB, Husna Nashim.
Majlis berkenaan disaksikan Pengerusi ACSB, Tan Sri Dr Madinah Mohamad serta Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Holdings Sdn Bhd merangkap Pengarah Eksekutif MIVSB, Razman Jaafar.
MIVSB ditubuhkan sebagai platform utama pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) nasional, khususnya inovasi berteknologi tinggi yang dibangunkan oleh MIMOS Berhad.
Melalui kerjasama ini, MIVSB akan memanfaatkan rangkaian antarabangsa ACSB bagi membuka akses kepada pelabur dan rakan industri global, terutama dari Asia Barat, Afrika Utara dan Asia Tengah.
Mohamad Azriani berkata Malaysia telah membangunkan teknologi bertaraf dunia sejak beberapa dekad lalu dan keutamaan kini adalah memastikan inovasi tersebut berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Menurutnya, kerjasama berkenaan mengukuhkan peranan MIVSB sebagai penghubung strategik antara R&D nasional dan peluang komersial global secara lebih tersusun dan mampan.
Sementara itu, Dr Madinah berkata ACSB komited menyokong aspirasi global MIVSB dengan menyediakan seni bina modal melalui rangkaian dana kedaulatan dan rakan strategik antarabangsa yang dimiliki syarikat itu.
Majlis berkenaan turut dihadiri wakil dari Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Türkiye, mencerminkan keyakinan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap keupayaan teknologi tinggi Malaysia.
Kerjasama strategik ini dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada ekonomi negara termasuk menarik pelaburan langsung asing berkualiti tinggi, mempercepat pengkomersialan harta intelek tempatan serta meningkatkan pulangan ekonomi daripada pelaburan R&D awam.
Razman berkata, inisiatif itu menyokong model penglibatan antarabangsa yang mampan dan berisiko rendah, di samping memastikan kecemerlangan penyelidikan negara diterjemahkan kepada impak ekonomi sebenar.
Sebagai langkah awal, MIVSB dan ACSB akan mengenal pasti platform teknologi berimpak tinggi untuk pelaburan rentas sempadan dan penstrukturan usaha sama, selaras dengan pelan hala tuju jangka panjang meletakkan ‘deep tech’ Malaysia di pentas global.
-NIAGATIMES






















































