Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp) kini menganjurkan ‘Minggu Keusahawanan dan PKS 2019’ yang bakal berlangsung di beberapa lokasi terpilih di seluruh Malaysia. Program yang telah pun bermula sejak 12 Julai lalu dijadualkan berakhir pada 2 September depan melibatkan negeri-negeri seperti Sarawak, Kedah, Pahang, Sabah, Johor dan Selangor.

Program tahunan ini dibuka kepada orang awam secara percuma dengan sasaran menggalakkan budaya keusahawanan di samping menyediakan peluang promosi dan perniagaan, perkongsian maklumat serta jaringan perniagaan.

Minggu Keusahawanan dan PKS 2019 mengetengahkan agensi kementerian dan kerajaan negeri, institusi kewangan, badan korporat serta institusi pengajian tinggi melibatkan lebih 130 aktiviti berkaitan PKS bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Majlis pelancaran program ini yang bertemakan ‘Mula Berdikit – Azam Melangit’ di setiap wilayah seluruh negara akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof bersama-sama Menteri Besar atau Ketua Menteri negeri-negeri yang terlibat.

Minggu-Keusahawanan-PKS.jpg