Sebanyak 500 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) daripada sektor pembuatan telah dikenalpasti sebagai kumpulan pertama yang akan beralih ke teknologi Revolusi Perindustrian Keempat dengan sasaran perlaksanaan bakal dilakukan menjelang tahun hadapan.
Pengarah Kanan Bahagian Dasar dan Pelaburan dan Fasiliti, Perdagangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Faizal Mohd Yusof berkata, pemilihan 500 PKS bagi kumpulan pertama tersebut adalah berdasarkan program Penilaian Kesediaan Industry4WRD yang turut akan dibuka kepada sektor lain.
“Usaha itu sejajar pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2019 baru-baru ini yang memperuntukkan sebahagian daripada RM210 juta untuk program penilaian kesediaan itu bagi tempoh 2019 hingga 2021.
“Perlaksanaannya membolehkan kita mengetahui tahap PKS terbabit ketika ini dan bagaimana kerajaan dapat membantu dari segi pembiayaan atau insentif, selain mengenai hala tuju,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri forum ‘Stratum Focus Series’ di Ibu Pejabat Bursa Malaysia, baru-baru ini.