MOA hasrat lahirkan lagi 1,200 agropreneur muda tahun hadapan

Kementerian Pertanian dan Industri Asas (MOA) menyatakan hasrat untuk menambah lagi 1,200 usahawan baharu bagi mengikuti latihan di bawah program agropreneur muda pada tahun hadapan.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan berkata, RM20 juta diperuntukkan di bawah Geran Agropreneur Muda (GAM) iaitu bantuan berbentuk barangan untuk membantu meningkatkan pengeluaran hasil dan pendapatan agroprenuer.

“Bagi mencapai hasrat itu, MOA menjalankan jelajah ke seluruh negara bagi melihat usahawan yang berpotensi untuk dikembangkan dan potensi masing-masing,” katanya kepada pemberita sempena program ‘Jelajah Agropreneur Muda di Sabah’ di Kampung Tambotouan Kota Belud, kelmarin.

Mohd Sallehuddin berkata program agroprenuer muda itu meliputi bidang tanaman, ternakan, perikanan, industri asas tani, agropelancongan dan pemasaran yang boleh diceburi usahawan berumur antara 18 hingga 40 tahun.

Beliau berkata, bagi negeri Sabah seramai 449 usahawan menyertai progam itu sejak Januari 2016 hingga 30 Oktober lepas dengan jumlah peruntukan berjumlah RM6.1 juta.

-BERNAMA

Sallehuddin-Hassan-Kredit-foto-MOA.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.