Industri permotoran negara terus melangkah ke hadapan apabila pengeluar motosikal nasional, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) memperkenalkan model terbaharu, Modenas Z15GT yang secara rasmi dilancarkan sempena MotoGP Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang.
Model berkapasiti 150cc itu menandakan satu lagi kejayaan kejuruteraan tempatan hasil kerjasama teknikal dengan Kawasaki Motors Corporation dari Jepun. Ia dibangunkan sepenuhnya di kilang Modenas di Gurun, Kedah, melalui proses penyelidikan dan pembangunan selama tiga tahun lima bulan oleh pasukan tempatan yang terdiri daripada jurutera, pereka dan juruteknik Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata Z15GT menjadi lambang keupayaan dan kematangan bakat tempatan dalam menghasilkan motosikal bertaraf global. Menurut beliau, model itu dibangunkan daripada lakaran awal di Gurun, disahkan di Jepun, dan kini kembali dihasilkan semula di Malaysia.
Z15GT dijana oleh enjin satu silinder 149.5cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang mampu menghasilkan 16.7 kuasa kuda pada 9,500 pusingan seminit serta 13.5 Newton meter tork pada 7,500 pusingan seminit. Enjin ini disalurkan ke roda belakang melalui transmisi enam kelajuan dan telah menjalani ujian ketahanan sejauh 20,000 kilometer oleh pakar Kawasaki di Jepun dan Austria.
Dari segi reka bentuk, model ini menampilkan gaya agresif berinspirasikan falsafah Sugomi daripada Kawasaki yang melambangkan kekuatan dan keberanian, digabungkan dengan elemen ikan Arowana sebagai simbol kekuatan dan kemegahan Malaysia. Ia turut dilengkapi pencahayaan LED penuh, sistem kunci pintar, panel meter LCD digital, dan sistem brek anti kunci untuk keselamatan tambahan.
Selain itu, Z15GT dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 5.7 liter, sistem suspensi KYB serta port pengecas USB bagi kemudahan penunggang. Dengan berat hanya 128 kilogram dan ketinggian tempat duduk 780 milimeter, ia sesuai untuk pelbagai peringkat penunggang.
Modenas Z15GT ditawarkan dalam tiga warna iaitu Graphite Grey, Nardo Grey dan Rosso Red pada harga pengenalan RM8,288 tidak termasuk insurans dan pendaftaran. Penghantaran kepada pelanggan akan bermula pada 27 Oktober ini melalui rangkaian pengedar Modenas dan Kawasaki di seluruh negara.
Roslan menegaskan pelancaran Z15GT bukan sekadar memperkenalkan model baharu, tetapi menjadi bukti bahawa industri motosikal tempatan kini bersedia berdiri sebaris dengan jenama antarabangsa.
-NIAGATIMES






















































