Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan agensi fokal ekosistem startup Malaysia, Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) mengumumkan Startup ASEAN, sebuah platform inovatif yang bertujuan untuk mengangkat Negara-Negara Anggota ASEAN sebagai pemain utama dalam landskap startup global.
Dalam persiapan Malaysia untuk mempengerusikan ASEAN pada tahun 2025, Cradle telah diberi mandat untuk mengetuai ASEAN Startup Initiative (ASI) di bawah ASEAN Technology Startup Ignite. Inisiatif ini menekankan komitmen Malaysia untuk memperkukuh ekosistem startup serantau selaras dengan Priority Economic Deliverables (PEDs) 2025 negara bagi bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
Inisiatif ini memfokuskan kepada pemerkasaan dasar mesra startup, meningkatkan kesiapsiagaan ekosistem di seluruh Negara-Negara Anggota ASEAN (AMS) serta memacu kolaborasi berimpak tinggi untuk mewujudkan kerjasama dan sinergi bermakna dalam rantau ini.
Inisiatif pertama di bawah ASEAN Technology Startup Ignite adalah sebuah platform yang dicipta khusus oleh pasukan petugas khas daripada kesemua sepuluh negara-negara anggota ASEAN iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Menteri MOSTI, Chang Lih Kang menegaskan, Startup ASEAN dicipta untuk mempromosi dan memudahkan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam ekosistem startup ASEAN serta berfungsi sebagai pintu masuk kepada komuniti startup ASEAN yang dinamik.
“Melalui inisiatif ini, kami berhasrat untuk memperkasakan usahawan, menghubungkan inovator dan membina ekosistem yang mampan demi memacu pertumbuhan serta inovasi serantau.
“Startup ASEAN bukan sekadar sebuah platform digital; ia adalah bukti komitmen kolektif kita dalam memupuk inovasi, memperkukuh kerjasama dan membina asas utama bagi kemajuan teknologi,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, pihaknya akan memperkenalkan program dinamik termasuk hackathon serantau yang menyasarkan sektor deep tech seperti Kecerdasan Buatan (AI), kelestarian dan teknologi iklim.
“Selain itu, Startup ASEAN Summit yang dijadualkan tahun hadapan akan menonjolkan inovasi serantau serta membuka pasaran baharu untuk startup,” jelasnya.
Menjelang pelancaran rasminya pada Suku Kedua 2025, Startup ASEAN kini mengundang startup dan rakan ekosistem dari seluruh negara ASEAN untuk menyertai platform ini. Usahawan boleh mengemukakan minat mereka di www.startup-asean.org dan menjadi sebahagian daripada lonjakan inovasi masa hadapan di rantau ini.
-NIAGATIMES