MOT saran pendekatan fleksibel dalam industri e-hailing

Kementerian Pengangkutan (MOT) menyarankan syarikat e-hailing memperluaskan pelaksanaan konsep perkongsian kenderaan atau ‘carpool’ sebagai langkah membantu mengurangkan kos bahan api serta menyediakan pilihan lebih menjimatkan kepada pengguna.

Menterinya, Anthony Loke berkata pendekatan itu berpotensi meningkatkan kecekapan perjalanan dengan membolehkan beberapa penumpang berkongsi kenderaan pada satu masa, sekali gus menikmati kadar tambang lebih rendah.

Menurut beliau, pelaksanaan konsep itu bukan perkara baharu, sebaliknya telah melalui fasa pembuktian konsep (PoC) bersama beberapa pengendali e-hailing sebelum ini.

“Pendekatan ini boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat kerana asasnya sudah ada. Kita berharap ia menjadi contoh kepada pihak lain untuk bertindak secara proaktif, khususnya dalam mendepani cabaran semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementerian itu hari ini.

Anthony turut menekankan kepentingan penyesuaian dasar dan peraturan secara berterusan agar lebih responsif terhadap keperluan semasa, tanpa menjejaskan aspek keselamatan serta pematuhan undang-undang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan konflik di Asia Barat turut memberi kesan ketara kepada industri penerbangan negara apabila penutupan ruang udara di kawasan tertentu memaksa syarikat penerbangan mengubah laluan perjalanan.

Katanya, situasi itu menyebabkan tempoh penerbangan ke destinasi seperti Eropah menjadi lebih panjang selain meningkatkan kos operasi.

“Selain gangguan jadual penerbangan, terdapat juga pembatalan dan penggantungan laluan tertentu ke Asia Barat pada peringkat awal konflik yang memberi kesan kewangan besar kepada syarikat penerbangan,” katanya.

Bagi sektor maritim pula, ketegangan di laluan utama perdagangan global seperti Selat Hormuz, Terusan Suez dan Laut Merah memaksa kapal dagang memilih laluan alternatif melalui Tanjung Harapan di Afrika, sekali gus menambah masa serta kos penghantaran.

-NIAGATIMES

GAMBAR-HIASAN-kredit-MOT.jpg