MPKK umum 4 langkah strategik perkukuh koperasi hadapi krisis global

Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) mengemukakan empat cadangan strategik bagi memperkasa peranan gerakan koperasi dalam membantu rakyat menghadapi cabaran krisis bekalan global susulan konflik di Asia Barat.

Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong itu berlangsung di Menara Kembar Bank Rakyat dengan penyertaan pengurusan tertinggi kementerian, ketua agensi berkaitan serta 36 wakil terdiri daripada Exco kerajaan negeri, wakil koperasi, akademik dan industri.

Antara cadangan utama ialah memperluaskan penggunaan diesel dan petrol bersubsidi kepada koperasi bagi menyokong operasi harian termasuk logistik dan pengangkutan, khususnya di kawasan luar bandar.

Langkah itu melibatkan kenderaan utiliti seperti trak pikap, penjana kuasa serta bot penumpang, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 300 kenderaan milik koperasi sekali gus membantu mengekalkan harga barangan dan perkhidmatan kepada pengguna.

Dalam masa sama, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan memastikan mekanisme kawalan dilaksanakan bagi mengelakkan ketirisan dan penyalahgunaan subsidi.

MPKK turut mencadangkan perluasan penglibatan CoopMart sebagai rakan niaga dalam Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), membolehkan rakyat menebus barangan keperluan asas di kedai koperasi menggunakan kad pengenalan.

Setakat ini, hampir 240 koperasi telah berdaftar dalam jaringan program itu, dengan sasaran penambahan 500 lagi koperasi bagi memperluas capaian serta meningkatkan jualan sektor berkenaan.

Selain itu, program ‘Business School in School’ dicadang dilaksanakan bagi mendedahkan pelajar sekolah menengah kepada asas perniagaan lebih awal.

Ketika ini, hampir 70 peratus daripada 2,623 CoopMart beroperasi di sekolah, dan penglibatan pelajar dalam program tersebut akan diiktiraf melalui Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), selain pensijilan oleh Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia.

Cadangan keempat melibatkan pelaksanaan koperasi sebagai pusat pengambilan sendiri (self-collection point) bagi platform e-dagang, yang dijangka membuka peluang pendapatan baharu kepada koperasi.

Bagi tahun ini, Kementerian menyasarkan 100 premis koperasi menyertai inisiatif tersebut, dengan 25 premis telah beroperasi dan 61 lagi dalam proses saringan.

Dalam perkembangan berkaitan, SKM turut memeterai tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat dan agensi berkaitan bagi memperkukuh penglibatan koperasi dalam sektor tenaga dan perladangan sawit.

Kerjasama itu membuka peluang kepada koperasi untuk menceburi perniagaan stesen minyak termasuk pengoperasian stesen mini di luar bandar, selain memperkasa koperasi pekebun kecil melalui pemasaran berkelompok dan aktiviti hiliran.

Selain itu, satu Memorandum Perjanjian turut dimeterai bersama institusi pendidikan bagi membangunkan kerangka koperasi patuh syariah di bawah inisiatif i-CORES, selaras dengan agenda Ekonomi MADANI.

Sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 16,468 koperasi berdaftar di seluruh negara dengan keanggotaan 7.3 juta orang, mencatatkan aset berjumlah RM186.7 bilion dan perolehan RM81.63 bilion, sekali gus mencerminkan sumbangan signifikan sektor itu kepada ekonomi negara.

-NIAGATIMES

KUSKOP-MPKK.jpeg