Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah mengambil inisiatif menubuhkan Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) yang akan bertindak sebagai platform perhubungan di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam usaha memacu pertumbuhan pesat perusahaan mikro, kecil dan sederhana di samping memperkasakan ekosistem keusahawanan di kedua-dua peringkat.
MEDAC dalam kenyataan berkata, MPKN berperanan menyelaraskan dasar dan halaju pembangunan keusahawanan, menetapkan skop kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri serta memperakukan langkah-langkah dan inisiatif strategik bagi menangani isu, cabaran dan halangan yang dihadapi oleh usahawan di pelbagai peringkat secara holistik dan bersepadu.
โMesyuarat MPKN Bilangan 1 Tahun 2021 telah membincangkan kerjasama strategik yang akan dibentuk di antara MEDAC dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis mengenai program-program peningkatan dan pembangunan usahawan dan PKS di kedua-dua buah negeri.
โSelain itu, MEDAC akan turut mengkaji kaedah dan inisiatif yang dapat membantu usahawan di Sabah dan Sarawak, khususnya yang berada di kawasan pedalaman, dalam mempelbagaikan produk dan perkhidmatan, menyediakan infrastruktur, meningkatkan produktiviti pengeluaran dan memperluaskan pasaran produk PKS dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak,โ katanya.
Sementara itu, Menteri MEDAC, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementeriannya melalui MPKN akan mengenal pasti langkah-langkah yang strategik dan proaktif untuk menangani isu, masalah dan cabaran yang dihadapi oleh usahawan disamping menyelaras pelaksanaan inisiatif keusahawanan.
โMPKN merupakan platform terbaik untuk MEDAC membentuk kerjasama kolektif dengan semua pihak berkepentingan agar pelaksanaan strategi dan inisiatif yang digariskan dapat melahirkan usahawan tempatan yang kompetitif dan berjaya dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif.
โDi samping itu, platform MPKN juga akan digunakan oleh MEDAC untuk mendapatkan maklumat mengenai perkembangan dan situasi sebenar usahawan di peringkat akar umbi termasuk maklumat dan data mengenai usahawan informal yang berjumlah lebih satu juta pada ketika ini,โ jelasnya.
-NIAGATIMES