MPOB anjur webinar sempena Minggu MyKomoditi 2021

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan menganjurkan lima webinar sepanjang Minggu MyKomoditi 2021 yang akan bermula pada 25 hingga 29 Oktober ini.

Minggu MyKomoditi 2021 dengan tema ‘Kemampanan dan Kemakmuran Bersama’, anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan dirasmikan oleh Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Webinar MPOB memberi fokus perkongsian maklumat mengenai teknologi MPOB dalam meningkatkan kemajuan industri sawit negara dan peluang perniagaan melalui pengkomersialan teknologi berasaskan sawit.

Webinar pertama dengan tajuk ‘Amalan Pengurusan Terbaik untuk Meningkatkan Hasil Sawit’ bertujuan meningkatkan pengetahuan penggiat di sektor huluan, terutamanya pekebun kecil mengenai pengurusan tanaman sawit bagi peningkatan hasil sawit.

Seterusnya, webinar ‘Ke Arah Pembangunan Pekebun Kecil Mampan’ membincangkan kepentingan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi pengeluaran minyak sawit mampan. Pelaksanaan Pensijilan MSPO yang diwajibkan kepada semua penggiat industri sawit memberi impak besar dalam memastikan minyak sawit terus mendapat tempat di pasaran dunia.

Webinar bertajuk ‘Melestarikan Sektor Perladangan Sawit’ akan membincangkan guna tenaga di sektor perladangan sawit.

Selain perkongsian maklumat terkini industri sawit di sektor huluan hingga sektor hiliran, webinar MPOB juga akan membicarakan tentang kegunaan dan keistimewaan produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit.

Penganjuran siri webinar MPOB juga akan membincangkan pengkomersialan teknologi sawit dan perkongsian kejayaan syarikat dalam pengkomersialan teknologi MPOB.

Perbincangan bersama panelis jemputan daripada Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) akan mengupas kaedah pengkomersialan teknologi yang amat berguna kepada para usahawan termasuk industri sawit.

Penggiat industri dan orang ramai dijemput untuk menyertai webinar berkenaan. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran webinar sila layari https://mpob.gov.my/uncategorized/mykomoditi-2021-webinar-mpob .

-NIAGATIMES

Pameran-MPIC.png

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.