MPOB cipta teknologi pemunggah buah tandan segar di ladang sawit

Sekumpulan Penyelidik di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang diketuai oleh Mohd Ramdhan Mohd Khalid telah mencipta teknologi pemunggahan buah tandan segar (BTS) di ladang sawit.

Teknologi berupa alat pengangkat mudah alih untuk operasi pemunggahan buah sawit ke dalam lori tersebut telah dilancarkan di Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi MPOB 2021 pada Julai lalu.

Ia terdiri daripada rekaan casis serta sistem hidraulik untuk menerima muatan daripada jentera pengangkut bersaiz kecil di ladang. Pek kuasa hidraulik dikuasakan oleh bateri 24V berupaya untuk mengangkat muatan buah sawit sehingga 400 kg. Alat ini juga mudah dipasang atau dipisahkan daripada jentera pengangkut untuk tujuan penundaan di ladang.

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, penggunaan alat pengangkat mudah alih ini menyumbang kepada peningkatan operasi pemindahan buah sawit ke lori hingga 35 peratus lebih cepat berbanding dengan pemunggahan secara manual.

“Penggunaan alat rekaan MPOB ini dapat meningkatkan produktiviti untuk aktiviti pemunggahan BTS di ladang sawit.

“Kaedah pemunggahan buah sawit yang lebih cekap mampu mengurangkan proses pengendalian berulang selanjutnya mengurangkan kerosakan buah sawit dan menyumbang kepada peningkatan kualiti minyak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Penyelidikan projek ini bermula pada tahun 2017 dan teknologi ini telah ditawarkan untuk pengkomersialan kerana ianya lebih praktikal serta membantu peningkatan produktiviti di ladang sawit.

-NIAGATIMES

MPOB-teknologi.png

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.