MPOB dan syarikat-syarikat tempatan setuju laksana pengkomersialan teknologi

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah memeterai perjanjian bersama-sama empat buah syarikat tempatan untuk pengkomersialan teknologi yang dibangunkannya meliputi formulasi baja, mekanisasi perladangan dan poliol berasaskan sawit.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, teknologi yang dibangunkan oleh para penyelidik MPOB memberi peluang perniagaan kepada pihak industri dan usahawan tempatan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi menghasilkan produk secara komersial di pasaran yang menjana pendapatan.

“Usaha sama antara MPOB dan syarikat-syarikat tempatan bagi pengkomersialan teknologi berkaitan sawit melibatkan kepakaran dan kemudahan penyelidikan MPOB yang mewujudkan situasi menang-menang dan menyumbang kepada kemajuan industri sawit negara,” katanya sewaktu menghadiri pelancaran Majlis ‘Soft Launch’ Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) MPOB 2021 di Ibu Pejabat MPOB, baru-baru ini.

Empat syarikat tempatan yang terlibat ialah FGV Fertiliser Sdn Bhd, Palmyra Polyurethane Systems Sdn Bhd, Fulle Technik Sdn Bhd dan RZtech Resources Sdn Bhd.

Kerjasama MPOB dengan syarikat tempatan FGV Fertiliser Sdn Bhd bagi pengeluaran formulasi baja khusus untuk tanaman sawit yang mengandungi sumber nutrien dan mineral semula jadi akan meningkatkan kecekapan penyerapan nutrien oleh pokok sawit.

Manakala, perjanjian pengkomersialan teknologi yang ditandatangani dengan Palmyra Polyurethane Systems Sdn Bhd adalah bagi penghasilan formulasi pelitup poliuretana berasaskan sawit untuk digunakan pada permukaan belakang karpet sukan dan rumput karpet hiasan tiruan.

Bagi Fulle Technik Sdn Bhd, perjanjiannya adalah bagi pengkomersialan teknologi untuk jentera tiga roda penyembur racun berkuasa hibrid.

Syarikat terakhir iaitu RZtech Resources Sdn Bhd pula adalah melibatkan pengkomersialan teknologi bagi jentera untuk memungut buah sawit relai di dalam ladang.

-NIAGATIMES

MPOB.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.