MPOB, EF meterai memorandum perjanjian perkasakan pekebun kecil dalam SPOC

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Earthworm Foundation (EF) memeterai satu memorandum perjanjian bagi memperkasakan pekebun kecil persendirian dalam Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) dari aspek pengurusan alam sekitar dan hidupan liar serta melaksanakan amalan pertanian baik (GAP) seperti digariskan dalam Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, MPOB mempunyai kepakaran dalam membantu memperkasakan pekebun kecil melalui insentif integrasi tanaman dan insentif integrasi ternakan dengan sawit, penubuhan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) dan khidmat nasihat sawit secara percuma kepada pekebun kecil persendirian.

“EF atau sebelum ini dikenali sebagai The Forest Trust telah pun aktif di lapangan sejak 20 tahun lepas merentasi lima benua dalam membantu pihak kilang dan ladang mengeluarkan produk sawit yang mesra alam serta meningkatkan taraf hidup pekebun.

“Sejak 2010, EF mula aktif di Malaysia dengan menyokong aktiviti kilang penapis, kilang sawit, ladang dan pekebun kecil sawit dalam usaha memperkasakan amalan mampan bagi memenuhi permintaan pasaran minyak sawit,” katanya di majlis pemeteraian perjanjian itu di Kinabatangan, semalam.

Tambah Parveez, pemeteraian memorandum perjanjian tersebut merupakan antara usaha MPOB untuk melahirkan pekebun kecil berwawasan dan mempunyai daya saing yang tinggi.

“Memorandum perjanjian ini akan menjadi titik permulaan kepada kerjasama penting antara MPOB dan EF,” ujarnya.

Usaha sama antara MPOB dan EF akan menyediakan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak yang sekali gus akan menyumbang kepada kemajuan industri sawit negara.

Sehingga 30 April 2022, MPOB telah membantu mempersijilkan seramai 167,549 orang pekebun kecil persendirian seluruh Malaysia (76.62 peratus), manakala bagi negeri Sabah pula seramai 25,691 (81.31 peratus) orang pekebun kecil telah pun dipersijilkan dengan MSPO.

-NIAGATIMES

PIC-MPOB-EF-2-Jun-2022.png

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.