MPOB gesa pengusaha industri sawit segera mohon pensijilan MSPO

0
24

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggalakkan pekebun-pekebun sawit di Malaysia untuk mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yanG akan memberi manfaat kepada lebih 500 ribu pekebun kecil terutama 258,657 pekebun sawit persendirian di negara ini.

Pengerusi MPOB, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pihaknya komited dalam mendapatkan 100 peratus pengiktirafan MSPO di Malaysia dengan fokus utama adalah kepada pekebun-pekebun bagi membantu mereka mendapatkan hasil buah tandan segar (BTS) yang bermutu tinggi dan secara langsung dapat meningkatkan kadar perahan minyak (OER).

“Fokus lebih tertumpu kepada pekebun-pekebun persendirian sawit kerana pemilik ladang yang berskala besar dan pihak industri mempunyai pengetahuan berkenaan MSPO dan mereka telah memohon serta telah dipersijilkan berbanding pekebun kecil persendirian.

“MPOB memandang serius dengan pensijilan ini kerana 2.3 juta hektar daripada 5.90 juta hektar tanaman sawit dimiliki oleh pekebun kecil dan persendirian, dan ianya meliputi 60 peratus tanah pertanian di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah Jazlan, negara pengimport memperakukan sijil MSPO dan menyatakan kesediaan akan membeli sawit Malaysia dengan harga yang lebih tinggi sekaligus akan membantu pekebun meningkatkan pendapatan hasil daripada penghasilan buah tandan segar yang bermutu dan tinggi nilainya.

“Pensijilan ini akan memberi pengetahuan seperti amalan pertanian baik (GAP) sawit, mengurangkan kos pengeluaran, meningkatkan kecekapan pengurusan serta meningkatkan produktiviti dan secara langsung meningkatkan pendapatan pekebun,” katanya.

Industri-sawit-Foto-sekadar-hiasan.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.