Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang membangunkan sistem secara dalam talian bagi tujuan pemantauan dan pelaporan transaksi buah tandan segar (BTS) bagi pekebun kecil persendirian dan peniaga buah sawit untuk perkembangan industri sawit negara.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng berkata, sistem ini dibangunkan bagi menggalakkan pekebun kecil persendirian mengamalkan penyimpanan rekod penyelenggaraan kebun dan rekod hasil secara konsisten dan tepat.
“Tiada sebarang sistem yang spesifik untuk merekod hasil dan harga BTS yang diterima oleh pekebun kecil persendirian pada masa kini.
“Justeru, MPOB mengalami kesukaran untuk memberikan perkhidmatan pengembangan yang efektif tanpa makkumat data hasil, kos pengeluaran serta keuntungan yang diperolehi,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada perasmian pelancaran projek rintis tersebut, semalam.
Projek rintis pemantauan dan pelaporan transaksi buah tandan segar dilaksanakan di Tanjung Piai dan adalah yang pertama seumpamanya dalam industri sawit.
Sistem baru ini ditambahbaik untuk meningkatkan ketelusan dalam urusniaga transaksi buah tandan segar dan pada masa yang sama mampu mengumpulkan rekod pendapatan pekebun kecil persendirian termasuk fungsi untuk memantau penjualan buah sawit curi, penjualan tanpa lesen, penggunaan lesen orang lain tanpa kebenaran, peniaga buah yang kurang jujur dan lain-lain isu.
-NIAGATIMES