Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menegaskan bahawa kualiti minyak masak olein dalam bungkusan plastik 1 kilogram (kg) yang dijual di pasaran tempatan adalah menepati kualiti yang ditetapkan dan bukan minyak kitar semula, kata Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan secara berkala dan pengujian sampel minyak masak di pasaran dan mendapati bahawa kualiti dan ciri-ciri penting adalah menepati kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Standard Malaysia.
โIni meliputi kandungan asid oleik, warna dan kualiti penting termasuk sebatian polar, sebatian polimer, indeks kestabilan oksidatif dan vitamin E (tokotrienol dan tokoferol).
โTanggapan bahawa minyak masak dalam bungkusan plastik 1kg yang dijual dengan harga subsidi mempunyai kualiti yang lebih rendah adalah salah.
โHarga minyak masak dalam bungkusan plastik 1kg disubsidi dan dikawal oleh kerajaan. Oleh itu, harganya lebih murah berbanding harga minyak masak dalam botol di pasaran,โ jelasnya.
Ketika ini terdapat 49 buah kilang penapis yang aktif beroperasi serta 312 syarikat pembungkus minyak masak bagi bekalan minyak masak untuk kegunaan pasaran tempatan yang dianggarkan sebanyak 1 juta tan setahun.
Harga minyak masak dalam bungkusan plastik 1kg di pasaran dikawal oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di mana harga runcitnya tidak boleh dinaikkan melebihi harga kawalan RM2.50 yang ditetapkan.
Subsidi diberikan kepada minyak masak plastik 1kg kepada pengguna pada harga RM2.50 sebungkus walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) di pasaran telah meningkat.
-NIAGATIMES