MPOB perkasa pekebun kecil melalui Koperasi Penanam Sawit Mampan

Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) terus memainkan peranan penting dalam memperkasa ekonomi lebih 220,000 pekebun kecil sawit persendirian di seluruh negara yang mengusahakan tanaman sawit meliputi keluasan lebih 866,000 hektar.

Dengan sokongan berterusan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), penglibatan pekebun kecil dalam KPSM dilihat mampu membantu mereka menangani cabaran ekonomi melalui pengurusan ladang yang lebih cekap, pengurangan kos operasi serta akses yang lebih luas kepada pasaran dan perkhidmatan sokongan industri.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, MPOB kekal komited memperkasa pekebun kecil sawit persendirian sejajar dengan usaha kerajaan meningkatkan kesejahteraan komuniti luar bandar dan memastikan kelestarian industri sawit negara.

Beliau berkata melalui 49 Pejabat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) di seluruh negara, MPOB menyediakan khidmat nasihat teknikal, sokongan pembangunan koperasi serta bimbingan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi menjamin daya saing minyak sawit Malaysia di pasaran global.

“Pendekatan secara kolektif melalui KPSM berpotensi meningkatkan pendapatan ahli. Koperasi boleh melaksanakan pelbagai aktiviti keusahawanan seperti pembekalan baja dan input pertanian, penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan jalan, pengoperasian stesen minyak serta penjualan tandan buah segar (TBS) secara terus kepada kilang bagi memperoleh harga yang lebih kompetitif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Stesen Minyak Sistem Kontena Mudah Alih (Portable Container System – PCS) KPSM Kemabong Tenom Berhad, kelmarin.

Dalam program berasingan di Apin-Apin, Ahmad Parveez turut melancarkan Pusat Timbang Kedua KPSM Apin-Apin Bingkor Berhad yang bertujuan memperkukuh sistem pemasaran TBS pekebun kecil.

Kemudahan itu dijangka meningkatkan ketelusan penimbangan, mempercepat urusan penghantaran ke kilang serta mengurangkan kos logistik, sekali gus memberi pulangan yang lebih adil kepada pekebun kecil.

Pada program sama, MPOB turut menyumbangkan bahan bacaan berkaitan industri sawit serta 500 set pensel warna dan beg sekolah kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Kemabong, Tenom bagi meningkatkan pendedahan terhadap sains, teknologi dan kepelbagaian kegunaan minyak sawit.

Ahmad Parveez berkata pada 2025, industri sawit menyumbang lebih RM112 bilion kepada pendapatan eksport negara dan menyediakan peluang pekerjaan kepada ratusan ribu rakyat Malaysia.

-NIAGATIMES

Foto-2.jpeg