MPOB reka formulasi marjerin bagi suhu refrigerasi dan tanpa refrigerasi

Sekumpulan penyelidik dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang diketuai oleh Dr. Sivaruby Kanagaratnam telah berjaya menghasilkan formulasi marjerin dengan lemak struktur berasaskan sawit yang sesuai untuk suhu refrigerasi dan tanpa refrigerasi.

MPOB dalam satu kenyataan hari ini berkata, formulasi marjerin yang dihasilkan ini boleh digunakan pada julat suhu yang besar iaitu dari 5 darjah celcius hingga 35 darjah celcius sekaligus mampu memenuhi keperluan kepada marjerin yang diperbuat daripada dua formulasi yang berbeza.

“Marjerin refrigerasi boleh digunakan secara terus dari peti sejuk dan tidak mengalami pemisahan minyak pada suhu penggunaan.

“Marjerin tanpa refrigerasi sebaliknya mempunyai takat lebur yang lebih tinggi daripada majerin refrigerasi kerana marjerin ini disimpan dan digunakan dalam julat suhu 25 darjah celcius hingga 35 darjah celcius.

“Marjerin tanpa refrigerasi boleh mengeras apabila disimpan pada suhu yang lebih rendah daripada 10 darjah celcius.

“Oleh itu, kedua-dua jenis marjerin ini memerlukan dua jenis adunan minyak yang berbeza untuk memenuhi suhu penyimpanan yang berbeza,” katanya.

Sementara itu, Dr. Sivaruby yang bertindak selaku penyelidik utama berkata, marjerin ciptaan MPOB ini diformulasikan dengan lemak khusus berasaskan sawit.

“Lemak ini berupaya membentuk jaringan kristal minyak untuk pengstrukturan produk marjerin refrigerasi dan tanpa refrigerasi, menjadikannya sangat berbeza dari segi fizikal dan kimia.

“Formulasi marjerin ciptaan MPOB ini tidak memerlukan proses hidrogenasi untuk mencapai fungsi yang diperlukan,” jelasnya.

-NIAGATIMES

MARGERINE_MPOB.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.