MPOB tawar loji rintis canggih dan kepakaran R&D untuk pengusaha makanan

Pengilang dan pengeluar produk minyak dan lemak harus memanfaatkan kemudahan loji rintis dan makmal canggih Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta kepakaran penyelidikan dan pembangunannya dalam pembuatan minyak dan lemak.

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pihaknya telah melabur dengan banyak dalam loji-loji rintis tersebut yang kebanyakannya terletak di Ibu Pejabatnya di Bangi.

โ€œLoji perintis dan kemudahan makmal MPOB juga disewakan kepada pengeluar untuk penyediaan sampel produk makanan berasaskan minyak sawit untuk pengembangan pasaran atau percubaan formulasi baru atau menambahbaik formulasi. Kemudahan ini juga berguna untuk pengeluar minyak dan lemak untuk memformulasikan dan pengoptimuman proses,โ€ katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Penyelidik MPOB menawarkan kepakaran mereka dalam pembangunan produk makanan berasaskan minyak sawit dari aspek formulasi, pemprosesan dan pemeliharaan semasa penyimpanan dan pengangkutan.

Di samping itu, kepakaran mereka termasuk memperbaiki produk berasaskan minyak sawit bagi pengeluar yang sedia ada.

Loji rintis Perfector mampu menghasilkan marjerin berasaskan minyak sawit, termasuk marjerin meja lembut, marjerin bata, marjerin kek, dan marjerin untuk pastri; lelemak cecair dan pepejal; serta ghee sayur-sayuran.

Pengusaha yang terlibat dalam industri pengeluaran makanan boleh menghubungi Ketua Unit Pelaksanaan Korporat dan Perundingan MPOB, Dr. Anis Mokhtar di talian +603-8769 4574 atau Puan Suraya Mohamad di talian +603-8769 4579.

Pertanyaan juga boleh dihantar melalui e-mel tot@mpob.gov.my.

-NIAGATIMES

LOJI-RINTIS.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.