Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah membangunkan tiga teknologi berasaskan sawit untuk pengkomersialan oleh syarikat tempatan.
MPOB dalam kenyataan berkata, tiga teknologi yang ditawarkan adalah antara yang telah dipersetujui bagi tujuan pengkomersialan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
“Antara teknologi atau formulasi yang ditawarkan ialah produk tablet boleh kunyah Vitamin E Pecahan Kaya-Tokotrienol Sawit yang telah memenangi Anugerah Pingat Emas di Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-28 (ITEX 2018).
“Syarikat pengeluar produk makanan digalakkan mengkomersialkan tablet boleh kunyah vitamin E atau TRF sawit yang berpotensi besar untuk dipasarkan sebagai makanan yang diperkaya serta berfungsi sebagai produk kesihatan, nutraseutikal,” katanya.
Menurut MPOB, teknologi polyol berasaskan sawit juga telah dibangunkan untuk penghasilan penglitup poliuretana bagi pasaran karpet rumput tiruan hiasan atau sukan.
“Penggunaan penglitup poliuretana berasaskan sawit dapat memenuhi permintaan pengguna terhadap produk yang lebih mesra alam dan tahan lasak.
“Pengkomersialan teknologi MPOB akan meningkatkan penggunaan minyak sawit bagi pengeluaran produk pelekat,” ujarnya.
Selain itu, MPOB turut menawarkan teknologi dan formulasi produk pembersih tangan dan pelembap dengan Vitamin E.
“Pembangunan teknologi ini telah mempelbagaikan penggunaan oleokimia sawit dan Vitamin E dalam produk pencuci khususnya bagi menangani penularan Covid-19.
“Dengan formulasi pensanitasi yang diperkaya dengan gliserin dan vitamin E sawit, selain membersihkan tangan, ia juga meningkatkan dan mengekalkan kelembapan kulit serta melindunginya dari kerosakan akibat radikal bebas,” jelasnya.
-NIAGATIMES