MPOB memaklumkan bahawa Stesen Penyelidikan MPOB Belaga yang menjalankan kegiatan agronomi dan aktiviti penyelidikan telah ditutup dan kakitangan telah dipindahkan ke Stesen Penyelidikan MPOB Sessang.
Walau bagaimanapun, operasi Pejabat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) yang ditempatkan di Stesen MPOB Belaga ini masih diteruskan dan dibuka secara berkala, dua hari seminggu bagi memberi perkhidmatan kepada pekebun kecil di kawasan sekitar Sungai Asap.
Pekebun kecil di Daerah Belaga juga boleh mendapatkan perkhidmatan Pegawai TUNAS untuk tujuan permohonan dan pembaharuan lesen di Pejabat MPOB di Bintulu.
Di Daerah Belaga hanya terdapat satu Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) dengan bilangan pekebun kecil seramai 1,937 orang dengan jumlah kawasan tanaman berkeluasan 9,731.9 hektar.
Pekebun kecil yang menyertai SPOC dibantu oleh Pegawai TUNAS MPOB bagi melaksanakan amalan pertanian baik dan membantu Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kebun sawit secara berkelompok.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr Ahmad Parveez Hj Ghulam Kadir berkata penutupan operasi Stesen Penyelidikan MPOB Belaga dan dipindahkan ke Stesen Penyelidikan MPOB Sessang adalah antara langkah MPOB bagi menjimatkan kos bagi pengurusan dan penyelenggaraan Stesen Belaga yang tinggi kerana keadaan topografi dan pulangan hasil buah tandan segar yang rendah.
Stesen Penyelidikan MPOB Belaga yang terletak di daerah kecil Sungai Asap, Belaga, kira-kira 155 km daripada Bandar Bintulu, ditubuhkan pada tahun 2009 di bawah Rancangan Malaysia Ke-9.
Stesen itu, dengan keluasan kompleks seluas 6.252 hektar mula beroperasi pada tahun 2012.
-NIAGATIMES