MRC, PAPISMA jayakan program vaksinasi di lima negeri

Majlis Getah Malaysia (MRC) dengan kerjasama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA) menganjurkan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di lima buah negeri iaitu Terengganu, Melaka, Kedah, Selangor dan Kelantan dalam usaha membantu Kementerian Kesihatan (KKM) memperluas capaian Program Vaksinasi Kebangsaan.

Program Outreach Vaksinasi Covid-19 merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat MRC sebagai tanda sokongan terhadap matlamat KKM untuk mencapai imuniti kelompok bagi melindungi orang ramai daripada jangkitan Covid-19 seterusnya menurunkan kadar kes positif menerusi liputan imunisasi yang tinggi.

Sehingga kini, sejumlah 13 Program Outreach Vaksinasi COVID-19 telah dilaksanakan di masjid-masjid terpilih dan memberi manfaat kepada seramai 4,452 penerima di negeri Terengganu, Kelantan dan Melaka untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Pemilihan masjid sebagai lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) adalah kerana lokasinya yang lebih strategik bagi memudahkan komuniti dan penduduk setempat mendapatkan suntikan vaksin dan seterusnya mengekang penularan wabak Covid-19.

Sebagai contoh, Masjid Gemuroh di daerah Kuala Nerus telah terpilih sebagai salah satu lokasi PPV disebabkan masih ramai penduduk terutama golongan warga emas yang masih belum mendapatkan suntikan vaksin disebabkan jarak di antara kediaman mereka dan Pusat Pemberian Vaksin Awam terdekat yang agak jauh.

Sejumlah 2,196 dos vaksin telah diberikan kepada penduduk di sekitar daerah Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Kemaman, Manir dan Dungun di negeri Terengganu, 1,260 dos vaksin kepada penduduk di sekitar mukim Serkam, Kampung Asahan dan Krubong di negeri Melaka, diikuti 996 dos vaksin kepada penduduk di Kota Bharu, Kelantan.

Program hari ini turut mendapat sokongan daripada agensi-agensi kerajaan iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Covid-19 Immunisation TaskvForce (CITF) daerah Kuala Nerus, Pejabat Daerah, Pejabat Agama, Pejabat Kesihatan Kuala Nerus serta rakan-rakan NGO seperti PERDIM, Imedik, PGMES dan Yayasan Amal Malaysia, Ameerah dan PESAT.

Program Outreach Vaksinasi Covid-19 dijangka akan berterusan sehingga selesai pemberian dos kedua pada 28 Ogos nanti dan akan diteruskan di daerah-daerah lain seperti Besut, Setiu dan Hulu terengganu bagi membantu pihak KKM meningkatkan peratusan pengambilan vaksin khususnya bagi rakyat negeri Terengganu.

Bagi negeri-negeri lain seperti Selangor dan Kedah pula, program ini akan dijalankan sebaik sahaja MRC menerima kebenaran dan kelulusan daripada pihak CITF serta Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi (MOSTI).

MRC juga turut merancang untuk menjalankan program vaksinasi Covid-19 kepada semua tenaga kerja di bawah industri getah dan sedang menunggu kelulusan daripada pihak MOSTI.

-NIAGATIMES

CSR-vaksinasi-MRC.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.