MTC peruntuk RM1.3 juta untuk program vaksinasi industri kayu-kayan

Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) telah memperuntukkan sebanyak RM1.3 juta bagi mempercepatkan suntikan vaksin secara besar-besaran di kalangan pekerja daripada sektor berasaskan kayu melalui program pemberian vaksin industri.

MTC telah menubuhkan pusat vaksinasi di Olak Lempit, Banting, Selangor untuk tujuan ini dan telah berjaya memberi vaksinasi kepada 10,005 pekerja untuk dos pertama setakat 16 Ogos 2021.

Program Vaksinasi Untuk Sektor Agrikomoditi (VACOMS) di PPVIN@Olak Lempit mula memberi vaksinasi kepada pekerja kilang pada 28 Julai 2021 dan akan menghentikan operasinya pada 6 September 2021.

MTC akan bekerjasama dengan persatuan atau syarikat perkayuan untuk menyalurkan subsidi vaksinasi bagi membolehkan suntikan vaksin dijalankan bagi membendung kluster tempat kerja di kilang-kilang.

Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Muhtar Suhaili berkata, pihaknya menyediakan subsidi sebanyak RM30 bagi setiap vaksin untuk setiap pekerja kilang.

“Covid-19 akan menjadi endemik dan kita perlu mewujudkan tempat kerja yang selamat bagi membolehkan industri kita beroperasi untuk kesinambungan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Industri perkayuan telah bersatu di dalam langkah-langkahnya ke arah vaksinasi besar-besaran setelah mengalami kerugian berjumlah RM60 juta setiap hari pada bulan Jun yang lalu akibat daripada penutupan operasi.

Bagi merangsang semula operasi selaras dengan arahan kerajaan semasa yang menetapkan peratusan tenaga kerja di kilang bergantung kepada bilangan pekerja yang divaksin, pemilik perniagaan secara proaktif memastikan pekerja mereka mendapat suntikan secepat mungkin.

Persatuan Perabot Muar (MFA) sedang menjalankan program vaksinasi yang sama di mana kira-kira 30,000 pekerja kilang akan mendapat suntikan vaksin.

-NIAGATIMES

IMG_7157.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.