Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) kini sedang membangunkan sebuah Pusat Percetakan Tiga Dimensi (3D) yang berpengkalan di Universiti Putra Malaysia khusus untuk membantu usahawan-usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan mengadaptasi perkembangan teknologi ke dalam perniagaan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Norhalim Yunus berkata, pusat teknologi tersebut yang dijangka akan beroperasi sebelum akhir tahun ini adalah sebahagian inisiatif MTDC melaksanakan pelan ‘Centre of 9 Pillar’ (Co9P) yang turut melibatkan beberapa wilayah lain seperti Universiti Teknologi Malaysia di Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu, Pulau Pinang dan Terengganu.

“Kemampuan PKS untuk berkembang dalam Industri 4.0 agak terbatas kerana beberapa faktor seperti kurang pengetahuan dan tidak mempunyai dana yang mencukupi. Maka, atas dasar itulah kita bangunkan Pusat Percetakan 3D ini untuk membantu mereka dalam segenap aspek.

“MTDC juga komited untuk mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih mapan dan berdaya saing dengan mengukuhkan kerjasama antara pihak universiti bersama-sama PKS dalam pembangunan teknologi supaya manfaat dan sasaran yang dimahukan kelak berjaya dicapai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Road2Growth 2019 Wilayah Tengah di Pusat Konvensyen TM Kuala Lumpur, hari ini.

MTDC-Norhalim-Yunus.jpg