MTDC gesa transformasi PKS ke Industri 4.0 lebih proaktif
Pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu melihat Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) sebagai ‘naratif nasional’ yang didorong oleh penggemblengan usaha secara berperingkat dan konsisten.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Datuk Norhalim Yunus berkata ini memandangkan kesedaran mengenai kepentingan mengubah cara kerja dan produktiviti berteraskan teknologi dan inovasi masih rendah dengan hanya segelintir syarikat PKS yang berani mengorak langkah ke arah platform IR 4.0.
Malah, dari segi permohonan Penilaian Kesediaan Industry4WRD, pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hanya menerima 600 permohonan berbanding lebih 80,000 syarikat PKS yang berdaftar di negara ini.
“Walaupun sedemikian, kita boleh menerangkan kepada mereka bahawa langkah ke arah IR 4.0 ini harus dimulakan sekarang meskipun kita tidak memiliki kandungan teknologi yang tinggi.
“Apa yang penting mereka mesti memiliki aspirasi atau wawasan untuk meningkatkan kemampuan syarikat masing-masing. Sebab itu MTDC mencadangkan kepada kepada mereka untuk memilih salah satu teras paling mudah untuk diamalkan dalam hab Industri 4.0, Centre of 9 Pillars (Co9P),” katanya kepada Bernama Radio pada Persidangan dan Pameran Teknologi MTDC (MTCE) 2019 di Pusat Konvensyen TM Kuala Lumpur, semalam.
Norhalim juga mengingatkan pemain industri PKS bahawa perubahan ke arah IR 4.0 boleh dilakukan secara berperingkat serta mengikut kemampuan modal dan tenaga kerja syarikat.
-BERNAMA