MTIB komited perkasakan agenda Bumiputera sektor perkayuan

Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) melalui Mesyuarat Penetapan Sasaran Kerja Tahunan dan Flagship MTIB bagi tahun 2022 telah membincangkan hala tujunya dalam memperkasakan agenda Bumiputera dalam industri perkayuan negara.

Berdasarkan perbincangan yang dihadiri oleh Pengerusi MTIB, Datuk Hishamuddin Abdul Karim, Ketua Pengarah MTIB, Mahpar Atan dan pengurusan tertinggi MTIB itu, pelbagai program dan aktiviti ke arah pemerkasaan agenda Bumiputera dimaklumkan telah dilaksanakan seperti Program Peningkatan Kapasiti Pengeluaran di Kilang Kerja Kayu SME Bumiputera di bawah Projek Rancangan Malaysia dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM39.7 juta.

“Usahawan-usahawan Bumiputera yang layak telah diberi pinjaman mesin berteknologi tinggi untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran agar dapat bersaing dengan lebih kompetitif dalam pasaran.

“Program yang telah dijalankan semenjak tahun 2015 telah memanfaatkan seramai 121 usahawan Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jelas MTIB, Program Sokongan Bahan Mentah dengan dana pusingan berjumlah RM16 juta turut disediakan untuk membolehkan usahawan Bumiputera membuat pembelian bahan mentah kayu bagi pembuatan perabot dan produk bernilai tambah tinggi.

“Malah, kami turut menyediakan peluang bagi usahawan Bumiputera meningkatkan jualan di pasaran domestik dengan penganjuran Wood & Lifestyle Fair bermula tahun 2016.

“Hasilnya daripada RM5.3 juta kos yang dibelanjakan, usahawan Bumiputera telah berjaya menjana jualan
sebanyak RM45.5 juta,” ujarnya.

MTIB juga menjalankan program-program berkaitan seperti Credible Entrepreneur, Marketing and Promotion (CEMP) merupakan program yang direka khas bagi membolehkan usahawan Bumiputera menghasilkan produk untuk pasaran eksport.

“Bagi melahirkan usahawan baharu Bumiputera, MTIB juga telah melaksanakan Program VenTureS dan Smart-Patnership bertujuan untuk meningkatkan penglibatan belia-belia Bumiputera dalam industri perkayuan, khususnya industri perabot,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Pelan Strategik Pembangunan Industri Ukiran Kayu Negara (2021-2030) yang dilancarkan pada 18 Disember 2021 telah dirangka untuk mencapai matlamat unggul ke arah memartabatkan industri ukiran kayu negara.

-NIAGATIMES

Industri-kayu-GAMBAR-HIASAN.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.