Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) yakin penganjuran Minggu Usahawan Nasional 2019 (MUN 2019) yang bakal diadakan pada 29 Ogos hingga 1 September nanti berupaya menjadi pemangkin ke arah mencapai Negara Keusahawanan Unggul 2030.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, pengisian program MUN 2019 yang lengkap dengan aktiviti-aktiviti keusahawanan melibatkan golongan usahawan daripada pelbagai latar adalah contoh sebuah ekosistem keusahawanan holistik seperti yang dicetuskan Dasar Keusahawanan Nasional 2030.

“MUN 2019 merupakan inisiatif MED untuk mengintegrasikan pelbagai aktiviti dan program keusahawanan merentasi kementerian, agensi kerajaan serta pihak swasta dalam satu platform atau ekosistem yang menyeluruh.

“Tumpuan utama MUN 2019 adalah penganjuran program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Nasional yang memberi fokus kepada usahawan SDSI dari seluruh negara merangkumi lima kluster utama iaitu makanan dan minuman, inovasi, inap desa, kraftangan serta kesihatan dan penjagaan diri,” katanya sewaktu menyampaikan taklimat media bersempena MUN 2019 di Menara Bank Rakyat Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah Redzuan, SDSI Nasional yang diadakan nanti dipercayai mampu mencapai sasaran potensi jualan sebanyak RM20 juta serta sasaran jualan tunai sebanyak RM500,000.

Taklimat-MUN-2019.jpg