MyAssist MSME diperkenal platform baharu bantu usahawan

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini melancarkan portal MyAssist MSME, yang merupakan satu daripada inisiatif kerajaan untuk memudahkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapatkan maklumat perniagaan, khidmat nasihat dan peluang pemasaran secara dalam talian ketika negara masih berdepan penularan pandemik Covid-19.

Beliau dalam kenyataan secara maya berkata, pembangunan Portal MyAssist MSME merupakan salah satu inisiatif tambahan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang bertujuan untuk memudahcara perniagaan, khususnya di kalangan PKS termasuk enterpris mikro.

“Sebagai bantuan tambahan yang diberikan oleh pihak kerajaan, pada 28 Jun kelmarin, saya telah mengumumkan PEMULIH, yang keseluruhannya bernilai RM150 bilion.

“Antara lain, fokus PEMULIH termasuklah bagi menyokong perniagaan, dengan tujuan utama untuk mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif cukai, menyediakan fasilitasi pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian, yang tentunya akan memberikan manfaat kepada PKS seperti saudara dan saudari,” katanya.

Sementara itu, agensi kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) iaitu SME Corp yang bertanggungjawab menyelaras portal MyAssist MSME menjelaskan, terdapat empat komponen utama yang boleh diakses pada portal berkenaan iaitu pusat maklumat PKS, khidmat nasihat, padanan perniagaan dan ekspo perniagaan.

“Komponen pertama iaitu sebagai pusat maklumat, mengumpul dan hebahan mengenai inisiatif di bawah Pakej Rangsangan yang diumumkan oleh kerajaan serta program pembangunan PKS.

“Ini akan memudahkan usahawan untuk mendapatkan informasi berkenaan semua program-program pembangunan PKS di bawah satu platform,” ujarnya.

Tambah SME Corp lagi, MeetMe pula adalah komponen khidmat nasihat yang membantu usahawan mendapatkan khidmat nasihat perniagaan dan perundingan, maklumat kemudahan kewangan, fasilitasi perdagangan dan penjenamaan serta sokongan teknologi secara dalam talian.

“PKS juga ditawarkan sesi padanan dengan secara dalam talian dengan syarikat multinasional (MNC), syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), pasaraya besar, syarikat-syarikat terkemuka dari dalam dan luar negara secara lebih mudah melalui modul MatchMe.

“Ekspo jualan secara dalam talian juga diwujudkan bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan PKS di bawah modul ePameran,” katanya.

-NIAGATIMES

MSME.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.