Dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing perniagaan di negeri Terengganu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dalam usaha memperkukuh ekosistem peraturan perniagaan negeri.
Sesi On-Boarding MyMudah telah dijalankan bagi mengenalpasti isu dan permasalahan serta mendapatkan maklumbalas dari industri, dengan fokus khusus kepada lima sektor industri utama di Negeri Terengganu.
Pemain industri telah mengutarakan beberapa isu yang melibatkan peraturan yang menjadi halangan kepada urusan perniagaan mereka. Isu ini tidak hanya membantutkan pertumbuhan ekonomi negeri, tetapi juga mempengaruhi keputusan pelabur untuk melihat Terengganu sebagai destinasi pelaburan mereka.
Timbalan Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian Dan Teknologi Hijau, Mohd Husaimi Hussin dalam ucapan perasmian berkata, kerajaan negeri sentiasa komited dalam memperkasakan sektor perindustrian negeri ini selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030.
“Justeru, sesi ‘on-boarding’ ini diharapkan dapat memberi input bukan sahaja kepada MPC tetapi juga kerajaan negeri dalam menilai dan menambahbaik peraturan dalam usaha menyediakan persekitaran mesra peniaga seterusnya dapat menarik lebih ramai pelabur,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah MPC Wilayah Pantai Timur, Dr Noor Aishah Hassan berharap agar jalinan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Terengganu dapat diperkukuhkan terutamanya dalam memudahcara urusan perniagaan di Negeri Terengganu.
Sesi ‘on-boarding’ ini merupakan platform persediaan bagi Persidangan MyMudah Peringkat Negeri Terengganu yang akan diadakan pada November 2023 di Kuala Terengganu yang bakal dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Persidangan ini merupakan inisiatif MPC dalam menyebarluas usaha meningkatkan keberkesanan dan kecekapan penyampaian peraturan dalam membentuk ekosistem perniagaan yang kondusif seterusnya melonjakkan produktiviti dan daya saing negeri.
-NIAGATIMES