Myra, jenama pembangunan kediaman di bawah Oriental Interest Berhad (OIB), memperkenalkan satu lagi inisiatif bagi meningkatkan pengalaman pemilikan rumah menerusi kerjasama strategik dengan Unity Kitchen di projek kediaman Myra Senja, Subang 2.
Melalui kerjasama itu, setiap unit pasaran terbuka di pembangunan berkenaan akan dilengkapi pakej kabinet dapur yang direka khusus, sekali gus membantu pembeli mengurangkan keperluan pengubahsuaian selepas menerima kunci rumah.
Ketua Bahagian Pembangunan dan Sumber Manusia Myra, Akil Hassan berkata pendekatan tersebut selari dengan komitmen syarikat untuk menawarkan nilai tambah yang praktikal kepada pembeli, bukan sekadar menyediakan kediaman.
Beliau berkata ramai pemilik rumah berdepan cabaran dari segi kos dan masa untuk menyiapkan ruang penting seperti dapur sebelum kediaman dapat digunakan sepenuhnya.
“Dengan penyediaan kemudahan yang telah siap dipasang, kami berharap pemilik rumah dapat berpindah masuk dengan lebih cepat dan menikmati kediaman baharu mereka tanpa perlu menanggung beban pengubahsuaian yang besar,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Myra turut bekerjasama dengan Panasonic Malaysia bagi menyediakan pakej peralatan elektrik cekap tenaga untuk unit-unit yang layak di Myra Senja.
Di bawah kerjasama terbaharu itu, pakej dapur yang ditawarkan merangkumi kabinet atas dan bawah, permukaan kaunter batu kuartza, hud dapur, laci sistem penutupan perlahan serta kaunter jenis pulau bagi unit kediaman T2B.
Selain itu, kabinet dapur berkenaan dilengkapi lampu LED khas serta teknologi papan anti-lipas yang disokong program Care Plus dengan jaminan sehingga 10 tahun.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Unity Kitchen Sdn Bhd, Erny Looi Chee En berkata kerjasama tersebut mencerminkan matlamat bersama untuk menyediakan ruang kediaman yang lebih praktikal dan tahan lama kepada pemilik rumah.
Myra Senja mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM400 juta dan merangkumi tiga menara kediaman berkonsepkan kepadatan rendah dengan keluasan antara 1,101 hingga 1,409 kaki persegi serta harga bermula RM658,000.
Setakat ini, kira-kira 60 peratus unit di Blok B, Fasa 1 telah terjual, manakala pelancaran Blok A dijadualkan pada suku ketiga 2026. Projek itu turut menawarkan pelbagai kemudahan rekreasi dan akses mudah melalui Lebuhraya DASH.
-NIAGATIMES




















































