Glide Technology Sdn Bhd menerima kemudahan pembiayaan berjumlah RM2.5 juta daripada SME Bank menerusi Program Pembiayaan MySMELady 2.0 dalam satu majlis penyerahan cek cura yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, hari ini.
Pembiayaan di bawah inisiatif Dana Ekonomi Usahawan Wanita (DEWI) itu akan dimanfaatkan bagi pembelian peralatan makmal, pengembangan mesin pengeluaran serta naik taraf infrastruktur elektrik syarikat daripada 400 ampere kepada 1,400 ampere.
Pelaburan berkenaan dijangka memperkukuh keupayaan Glide Technology dalam menghasilkan produk utama seperti minyak transformer berasaskan sawit MPOB-Glide serta rangkaian produk kerjasama PETRONAS Tranol Glide pada skala lebih besar.
Dalam ucapannya, Steven Sim berkata kejayaan Glide Technology sebagai syarikat berteknologi tinggi mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkasa lebih banyak perusahaan diterajui wanita dalam sektor bernilai tinggi.
Menurut beliau, syarikat itu turut membuktikan keupayaan di peringkat antarabangsa melalui kerjasama strategik dengan PETRONAS dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), khususnya dalam penghasilan minyak penebat premium serta pelincir automotif tempatan yang kompetitif.
“Glide Technology menunjukkan model syarikat yang perlu disokong – membangunkan jenama, melabur dalam teknologi dan meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai,” katanya.
Sementara itu, Presiden Glide Technology, Dato’ Haji Muhazli Muhamad, berkata pembiayaan tersebut akan mengukuhkan asas syarikat yang telah dibina sejak hampir dua dekad lalu.
Beliau menegaskan komitmen syarikat untuk menggunakan dana berkenaan secara bertanggungjawab bagi memastikan pertumbuhan mampan.
Ketua Pegawai Kewangan Glide Group of Companies, Datin Hajah Zarita Azlin Ibrahim, berkata dana itu akan disalurkan secara strategik kepada keutamaan utama termasuk peningkatan kapasiti pengeluaran dan kecekapan operasi.
Glide Technology, yang diasaskan pada 2007, merupakan PKS milik penuh Bumiputera dan antara pengeluar kontrak pelincir tempatan terkemuka. Syarikat itu turut aktif dalam pasaran eksport termasuk di Angola serta memegang hak pengkomersilan global bagi minyak transformer berasaskan sawit daripada MPOB.
-NIAGATIMES





















































