N HELZY RENT A CAR & TRAVEL BAK DUTA NEGERI SABAH

Agensi pelancongan milik Bumiputra, N Helzy Rent A Car & Travel Sdn Bhd, yang telah beroperasi sejak 2014 boleh diibaratkan seperti duta negeri Sabah. Mana tidaknya, keupayaan mereka menyediakan khidmat sewa kereta sering dilabel sebagai terbaik bagi kebanyakan para pelancong dan pengunjung yang pernah hadir melancong di sana.

Menurut Pengasas dan Pengarahnya, Mohamad Ikhsan Helzy Sutarso, tumpuan perkhidmatan syarikat N Helzy Rent A Car & Travel tidak terbatas memandangkan sasaran mereka yang mahu memaksimakan operasi kepada pengunjung yang terdiri daripada pelbagai latar.

“Selain menjadi keperluan kepada para pelancong, ia juga mempunyai permintaan khususnya dalam sektor kerajaan, korporat, syarikat-syarikat perniagaan dan badan-badan berkanun serta para pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi.

“Sektor perkhidmatan juga termasuk tempahan dan penghantaran pelbagai jenis kenderaan sewa sama ada sewa pandu sendiri atau sewa pandu berpemandu,” katanya.

Nama asal syarikat ini yang mulanya dikenali sebagai NH Rent A Car telah ditukarkan dengan tambahan NH Travel bagi pemahaman konsep yang lebih meluas kepada pengunjung yang hadir ke negeri yang dikenali dengan nama julukan Negeri Di Bawah Bayu.

Secara tidak langsung, pengunjung yang awalnya berurusan dengan mereka akan mudah memahami tujuan serta khidmat yang ditawarkan NH Rent A Car & Travel yang lebih ‘mesra pelancongan’.

“Sejajar dengan penjenamaan ini, syarikat telah mempelbagaikan lagi perkhidmatan seperti perkhidmatan penyewaan kenderaan untuk perkahwinan, penyewaan koc, pakej pulau, tempahan hotel dan pakej pelancongan domestik khususnya di Sabah dengan harga yang menarik, berpatutan dan mampu milik,” jelas Ikhsan Helzy.

Setelah enam tahun beroperasi, kini NH Rent A Car & Travel mengorak langkah memasang impian untuk untuk memasuki sektor hospitaliti iaitu memiliki hotel di bawah jenama sendiri.

Ikhsan berpendapat bahawa sektor penginapan juga memainkan peranan penting yang mendorong seseorang itu untuk melancong.

“Sudah tentu, ia selaras dengan visi syarikat kami iaitu menjadi pilihan utama pelanggan dalam perkhidmatan pelancongan dan hospitaliti yang menawarkan pakej percutian yang fleksibel serta memenuhi kehendak pelanggan.

“NH Travel juga berhasrat untuk membuka lebih banyak cawangan di seluruh Malaysia bagi memperkenalkan lagi pakej dan perkhidmatan yang kami tawarkan.

“Kami juga berharap untuk melebarkan lagi empayar perniagaan dengan menembusi pasaran antarabangsa iaitu New Zealand selain Arab Saudi untuk memfokuskan pakej umrah,” katanya.

-NIAGATIMES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.