NanoMalaysia Berhad (NMB) semalam meraikan pencapaian termaju selama 10 tahun sebagai agensi terulung yang diberi mandat oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk usaha pengkomersialan nanoteknologi menerusi model pembangun usaha sama.
Sebagai kemuncak kepada usaha selama 10 tahun memacu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berasaskan nanoteknologi ke arah pengkomersialan, syarikat sekali lagi memainkan peranan penting sebagai salah sebuah agensi pelaksana bagi segmen utama Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara, yang termasuk Bahan dan Teknologi Termaju, Internet Benda Nano, Blok Rantai dan Kecerdasan Buatan.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, dua program yang dikendalikan oleh NanoMalaysia iaitu program REVOLUTIoNT dan program Hydrogen EcoNanoMy akan dilancarkan.
REVOLUTIoNT akan memudahkan dan mengkomersialkan penghasilan harta intelek, produk dan penyelesaian sistem yang kompleks dan bernilai.
Sementara itu Hydrogen EcoNanoMy akan menggunakan teknologi Hidrogen yang dihasilkan di tapak NanoMalaysia bagi mewujudkan Ekosistem Industri Hidrogen Negara untuk sektor tenaga.
Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Ahmad Amzad Mohamed Hashim ketika merasmikan sambutan maya ulang tahun ke-10 yang distrimkan secara maya telah menyampaikan ucapan tahniah kepada pasukan NMB dan mengulas tentang impak yang dibawakan oleh agensi terhadap ekosistem nanoteknologi.
“Peranan NMB dalam Dasar 4IR Negara adalah penting dalam memacu Malaysia ke arah mencapai aspirasi Dasar Sains, Teknologi Dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 untuk menjadi negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.
“4IR yang menjadikan nanoteknologi sebagai salah satu tonggak teknologi utama dijangka akan meningkatkan produktiviti semua sektor sebanyak 30 peratus pada tahun 2030 dan menyumbang kepada peningkatan bilangan pekerja mahir negara serta pengeluaran produk nilai tambah yang lebih tinggi,” ujarnya.
-NIAGATIMES